Bekalan ikan kembung dijangka pulih dua minggu lagi - Utusan Malaysia

Bekalan ikan kembung dijangka pulih dua minggu lagi

ABDUL HAMID BAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Bekalan ikan kembung yang berkurangan sejak awal bulan ini dijangka pulih dalam  dua minggu lagi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, kekurangan bekalan ikan  itu disebabkan musim peralihan monsun iaitu ketika ini  ikan-ikan sedang bertelur.

“Bekalan ikan ada, namun berkurang kerana ikan pada masa ini berada pada musim peralihan monsun, maksudnya sekarang sedang bertelur.

”Bekalan ikan dijangka pulih dalam tempoh dua minggu lagi dan kita akan lihat berlaku lambakan ikan seperti ikan kembung di kawasan utara pada masa itu,” katanya ketika ditemui di 

persidangan Malaysia Tolak Tambak, di sini semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bekalan ikan di beberapa buah negeri di utara tanah air mengalami kekurangan sehingga menyebabkan harga ikan terutama ikan kembung melambung.

Menurut Abdul Hamid, nelayan terutama nelayan pantai berdepan dengan masalah pengurangan hasil ikan susulan musim peralihan monsun.

“Sebelum ini nelayan pantai boleh peroleh hasil sehingga satu tan ikan termasuk ikan kembung sehari, namun sekarang hasil berkurang.

“Ada di antara nelayan yang peroleh hasil sekitar 20 hingga 30 kilogram sahaja, mereka terpaksa juga mengira harga kos operasi jadi disebabkan itu harga ikan meningkat pada masa ini,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, sebagai persediaan menghadapi risiko banjir, Nekmat menyiapkan 100 tan stok ikan sejuk beku  untuk dibekalkan kepada penduduk yang terjejas dengan bencana itu.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN