PETALING JAYA: Kerajaan bercadang memperuntukkan sejumlah RM2.55 bilion melalui Bajet 2023 kepada infrastruktur luar bandar dengan memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu melibatkan projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa hampir 500 kilometer berjumlah RM1.5 bilion untuk manfaat lebih 110,000 penduduk antaranya dari Kampung Orang Asli Bawong Kuala Kangsar ke Rancangan Penempatan Semula Kemar, Perak.
“Selain itu, projek bekalan elektrik luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM472 juta untuk memanfaatkan penghuni 2,100 buah rumah; projek bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif berjumlah RM381 juta bagi manfaat penghuni 4,800 buah rumah antaranya di Ladang RISDA Palong di Jempol, Negeri Sembilan.
“Seterusnya, Projek Lampu Jalan Kampung melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan dengan peruntukan sebanyak RM123 juta dan kerja-kerja awalan bagi membina 85 jambatan baharu untuk menggantikan jambatan yang uzur serta tidak selamat dengan peruntukan berjumlah RM54 juta,” katanya. –UTUSAN