GEORGE TOWN: Kerajaan digesa menaikkan harga dan cukai rokok menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok bagi mengurangkan amalan serta tabiat merokok dalam kalangan rakyat khususnya golongan muda.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. V. Subbarow berkata, tinjauan CAP mendapati seorang perokok membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk pembelian rokok malah kebanyakkan mereka adalah daripada kumpulan B40.
“Sekiranya kerajaan menaikkan cukai dan harga rokok, kita yakin amalan menghisap rokok akan mula berkurangan termasuk risiko penyakit yang dihadapi.
”Perokok tegar akan berfikir terlebih dahulu untuk membeli sekotak rokok sekiranya harganya tinggi di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata, statistik ketika ini menunjukkan negara mempunyai kira-kira tujuh juta perokok manakala kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion untuk merawat tiga penyakit berkaitan merokok utama pada 2020.
“Jika berlaku kenaikan harga rokok, maka, jumlah perokok akan berkurangan.
“Bukti menunjukkan kenaikan harga rokok akan mengurangkan penggunaan rokok dan dalam jangka panjang, perokok lebih cenderung untuk berhenti merokok.
“Ketika ini dianggarkan juga kira-kira 20,000 kematian dilaporkan disebabkan merokok setiap tahun di negara ini,”katanya.
Subbarow berkata, antara negara yang menguatkuasakan kenaikan cukai rokok termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei sekali gus ia wajar dicontohi Malaysia. –UTUSAN