KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk mengumumkan segera pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook selepas mendengar Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz petang tadi.
“Kita lihat banyak gula-gula yang diagihkan kepada setiap segmen masyarakat, ia jelas menunjukkan kerajaan mahu menggunakan bajet ini sebagai manifesto pilihan raya.
“Tetapi soalan yang lebih penting ketika ini bila nak PRU15? Perkara ini mesti dijelaskan oleh Perdana Menteri, beliau perlu menunjukkan kepimpinan, jangan main-main lagi dengan soal tarikh PRU.
“Cukup-cukuplah berteka-teki tarikh PRU15, ia sudah berlarutan terlalu lama, tidak bagus untuk negara, malah sudah tentu akan memberi kesan kepada keyakinan dalam kalangan pelabur,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.
Katanya, Ismail Sabri juga seharusnya menjelaskan pendiriannya berhubung pembubaran Parlimen.
“Ketidaktentuan ini perlu dijelaskan dengan secepat mungkin, kalau beliau mahu bubarkan Parlimen, buat sahajalah.
“Kalau beliau tidak ada niat nak bubar, cakap sahajalah. Sekurang-kurangnya kita jelas supaya negara kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya.