PETALING JAYA: Perdana Menteri memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 untuk penjawat awam dinaikkan kepada RM600 ringgit dan dibayar pada Mac 2023.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada tahun hadapan, kerajaan turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan sejuta pesara sebanyak RM350 dengan implikasi kewangan berjumlah 1.3 bilion ringgit.
“Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada 2023 adalah sebanyak RM2,500,” katanya.
Katanya beliau lagi, kerajaan sebelum ini telah bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 ringgit kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan 1.5 bilion ringgit.
“Ini bermakna, jika seorang kakitangan Gred 11 yang bergaji RM1,600 mendapat Kenaikan Gaji Tahunannya sebanyak RM80 pada setiap bulan April, bagi tahun hadapan, beliau turut mendapat kenaikan gaji tambahan khas 2023 sebanyak RM100 bermula pada bulan Januari 2023.
“Ini menjadikan gaji akhir beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM1,780 ringgit dan gaji ini kekal dibawa ke tahun seterusnya,” katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri mengumumkan beberapa imbuhan kepada penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 pada 30 Ogos lalu.
Antara yang utama termasuk kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari dengan anggaran implikasi kewangan RM100 juta setahun.
“Dengan kenaikan tersebut, sukacita diumumkan bahawa kebenaran penebusan awal GCR sehingga 50 peratus juga akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari. Diharapkan kenaikan penebusan awal ini, dapat membantu penjawat awam yang memerlukan.
“Kerajaan juga telah menambah cuti rehat khas pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebanyak 5 hari menjadi 15 hari bagi memberi manfaat kepada 500,000 guru untuk menguruskan hal-hal peribadi dan berpeluang mengumpulkan GCR yang lebih tinggi,” katanya. –UTUSAN