PUTRAJAYA: Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) menjangkakan generasi muda di negara ini akan menyokong kerajaan yang dapat memberi jaminan pekerjaan lebih stabil.
Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Al Hafizi Abu Bakar berkata, isu tersebut dapat dilihat berdasarkan tinjauan badan berkenaan terhadap pembentangan Bajet 2023 awal bulan ini.
“Mereka amat gembira dengan bajet itu kerana cukup realistik dan berharap kerajaan dapat melaksanakannya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menghadiri Persidangan Dewan Muda MAYC 2022 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dr. Kang Tong Hum dekat sini.
Program julung kali berlangsung dengan format ala Parlimen itu disertai 40 perwakilan dari seluruh negara dan melibatkan pembentangan 50 usul sebelum sesi penangguhan pada esok.
MAYC yang ditubuhkan pada 1954 lalu sebagai Persatuan Pemuda Pemudi Malaya ketika ini disertai 47,366 angli daripada gabungan sejumlah 613 kelab belia dan meliputi 99 kawasan.
Mengulas lanjut, Mohd. Al Hafizi yang baru menerajui MAYC awal tahun ini sebagai pemimpin kesembilan berkata, kebanyakan usul dibawa lebih melibatkan ekonomi dan peluang kerjaya.
“Sebenarnya, ramai anak muda terkesan teruk sepanjang dua tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19 dan sebilangan besar terbeban hutang selain sudah diisytiharkan muflis,” katanya.
Justeru, beliau berharap parti-parti politik yang bertanding ketika PRU15 pada bulan depan untuk lebih mengutamakan isu-isu belia khususnya soal pekerjaan serta jaminan masa depan.
Apatah lagi ujarnya, pelaksanaan pendaftaran automatik Undi18 pada awal tahun ini telah menyaksikan lonjakan angka pengundi baharu dalam kalangan usia 18 tahun sehingga 20 tahun.
Jumlah pemilih PRU kali ini jelasnya, juga meningkat drastik apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan pendaftaran secara automatik semua pengundi berusia 21 tahun ke atas.
Sehubungan itu tegas Mohd. Al Hafizi, parti-parti politik wajar memberi lebih tumpuan kepada golongan ini kerana 50.4 peratus pengundi ketika ini berumur dari 18 tahun sehingga 40 tahun.
“Pada masa sama, saya berharap anak muda tidak lagi tertipu dengan janji-janji manis parti tertentu yang bukan sahaja tidak logik tetapi langsung tidak boleh diharapkan pun,” tambahnya.
Beliau memberi contoh janji populis pemansuhan tol lebuh raya dan skim pinjaman pendidikan yang disifatkan tidak masuk akal namun masih dipercayai ramai pengundi pada PRU-14 lalu.
Bagaimanapun kali ini, beliau yakin ramai anak muda sudah matang menilai janji popular yang realistik dan memilih kerajaan yang stabil demi prospek masa depan lebih baik untuk negara. –UTUSAN