ALOR SETAR: Kepemimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah membuat laporan polis mengenai fitnah yang cuba dikaitkan dengan penganjuran Festival Mingguan Muda Mudi serta menimbulkan kontroversi pada 1 Oktober lalu.
Setiausaha Amanah Kedah, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya mahu polis menyiasat terhadap dua pemilik akaun tiktok ikmal88idris dan Facebook Sembang Orang Kedah yang menyiarkan rakaman video dan gambar kehadiran pimpinan Amanah Kedah dalam program itu.
Katanya, ketika itu, barisan kepemimpinan Amanah Kedah baru sahaja selesai menghadiri Program Temu Rapat Pakatan Harapan (PH) di Alor Mengkudu dan seterusnya ke Pelancaran PH Negeri Kedah di Pokok Sena.
“Semasa dalam perjalanan itu, kami difahamkan terdapat Pasar Kopi Sehari yang dibuka kepada orang ramai di kawasan Balai Seni. Kami mengambil keputusan untuk singgah bagi minum kopi serta makan spaghetti sambil santai di kedai yang terdapat di kawasan itu.
“Bagaimanapun video tiktok ikmal88idris dan Facebook Sembang Orang Kedah menyiarkan seolah-olah kami hadir untuk menyokong Festival Mingguan Muda Mudi yang menjadi kontroversi apabila berlaku hiruk pikuk dan aksi terkinja-kinja pengunjung di malam hari,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.
Menurut Mohd. Asmirul Anuar, klip video itu tersebar luas dalam media sosial dan kumpulan-kumpulan sembang aplikasi WhatsApp penduduk-penduduk di negeri Kedah.
“Saya yakin dua pihak berkenaan yang cuba memanipulasikan video itu adalah mereka yang pro kepada Menteri Besar Kedah hari ini dan tindakan itu adalah tidak benar sama sekali. Ini merupakan satu perbuatan menghasut dan jahat apatah lagi kami memegang jawatan sebagai wakil rakyat.
“Menteri Besar perlu bertanggungjawab setiap apa yang berlaku dalam negeri ini. Kita tidak mahu seperti beberapa program lalu yang bertentangan dengan agama dan beliau hanya sering serta pandai menuding jari sahaja,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu berkata, pihaknya menggesa polis untuk membuat siasatan terperinci kepada kedua-dua pemegang akaun berkenaan selain tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. –UTUSAN