PONTIAN: Barisan Nasional (BN) Johor tidak menolak kemungkinan meletakkan calon dari luar bertanding di Parlimen berbeza pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menjangkakan antara tiga atau empat calon yang akan diberikan peluang bertanding di luar kawasan keahlian mereka, namun, enggan mendedahkan kerusi Parlimen tersebut.
“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan faktor boleh menang dan keperluan masa depan parti dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian Bhd., di sini hari ini.
Beliau berkata, BN Johor tidak membuat senarai pendek, namun, pengumuman senarai calon akan dibuatkan pada dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon pada 5 November ini.
“Kami menghantar senarai calon dan sesi perbincangan berada pada tahap terakhir, namun, pengumuman tidak dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya.
Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, penilaian calon-calon juga mengambil kira pelbagai kriteria termasuk pengalaman, potensi dan mampu menyumbang kemenangan kepada BN.
“Sebagaimana permintaan akar umbi yang mahukan calon-calon muka baharu, kita juga tampilkan sebanyak 60 peratus, termasuk 30 peratus kuota wanita pada PRU15 ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, BN Johor tiada masalah untuk mengenal pasti calon-calon muka baharu berdasarkan sumbangan mereka dalam kerja-kerja parti dan masyarkat.
Beliau dan kepimpinan BN Johor mengambil pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila memberi peluang kepada 70 peratus muka baharu bertanding pada Mac lalu dan memberikan kemenangan besar kepada BN.
Beliau berharap semua calon yang akan ditampilkan kelak dapat diterima oleh kepimpinan BN kerana matlamat adalah untuk memenangi PRU15. –UTUSAN