PUTRAJAYA: Sebanyak lima premis komersial tidak berpenghuni yang dijadikan lubuk melombong bitcoin dengan menggunakan sambungan bekalan elektrik secara haram diserbu menerusi Op Renjat di sekitar Kajang, kelmarin.
Operasi yang dijalankan secara bersepadu itu diketuai Suruhanjaya Tenaga (ST) dan turut disertai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Polis Diraja Malaysia; Tenaga Nasional (TNB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif ST, Abdul Razib Dawood berkata, sebanyak 349 unit mesin bitcoin termasuk cakera keras, wayar dan kipas yang dianggarkan lebih RM2 juta berjaya dirampas menerusi operasi tersebut.
Menurut beliau, perlombongan bitcoin berkenaan turut mengakibatkan pihak utiliti mengalami kerugian melebihi RM1.3 juta berikutan sambungan pintasan haram secara terus tanpa melalui meter.
“Operasi ini dijalankan ekoran daripada aduan diterima daripada pengguna yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik dan hasil intipan kira-kira sebulan yang dijalankan oleh ST bersama TNB di kawasan tersebut.
“Diingatkan bahawa kegiatan mencuri elektrik oleh pihak tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan masalah gangguan bekalan dan juga memberi ancaman keselamatan kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Razib berkata, kebiasaannya modus operandi sindiket perlombongan bitcoin secara haram adalah dengan menyewa bangunan rumah kedai dan mereka kemudiannya akan menggunakan nama pemilik berkenaan untuk memohon bekalan elektrik.
Jelasnya, ketika serbuan dijalankan, tiada seorang pun individu di dalam premis berkenaan dan siasatan akan dijalankan berdasarkan penama pada bil elektrik iaitu melibatkan pemilik bangunan.
“Sebab itu, kita ingatkan pemilik kena berhati-hati apabila menyewakan premis kepada mana-mana pihak dan hendaklah prihatin dengan aktiviti yang dijalankan oleh penyewa.
“Kita juga minta kerjasama daripada orang ramai di luar sana untuk sama-sama membanteras kegiatan haram ini kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan kemalangan, malah, mengancam nyawa masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengganggu Pepasangan Meter atau elektrik milik utiliti serta melaporkannya kepada ST atau TNB sekiranya mendapati berlaku sebarang kejanggalan pada meter atau terdapat sambungan haram.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan boleh dikenakan sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM5 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, jika sabit kesalahan.
Tambah beliau, kesemua mesin perlombongan bitcoin yang dirampas akan disita dan dilupuskan dan agensi penguatkuasaan lain yang turut serta dalam operasi bersepadu berkenaan boleh mengambil tindakan perundangan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).
Orang ramai yang ingin membuat laporan atau aduan sekiranya terdapat kecurian elektrik boleh salurkannya kepada TNB melalui talian 15454 bagi Semenanjung atau ST melalui talian 03-8870 8800 atau emel kepada [email protected]. –UTUSAN










