18 juta hidap NCD, rugi RM13bilion setahun - Utusan Malaysia

18 juta hidap NCD, rugi RM13bilion setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan kerugian kira-kira RM13 bilion setiap tahun akibat kehilangan produktiviti membabitkan 18.4 juta pen­duduk yang menghidap pe­nyakit tidak berjangkit (NCD) uta­ma iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol.

Jumlah itu tidak termasuk per­belanjaan kerajaan seba­nyak RM9.65 bilion bagi tujuan rawatan dan pengurusan NCD iaitu hampir 40 peratus daripada jumlah perbelanjaan untuk kesihatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, dianggarkan sejumlah 3.9 juta (18.3 peratus) penduduk dewasa menghidap diabetes, manakala 6.4 juta (30 peratus) mengalami hipertensi dan 8.1 juta (38.1 peratus) pula berdepan kolesterol tinggi.

Ia berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan setiap empat tahun bagi mengetahui anggaran beban NCD dengan jumlah terkini direkodkan seramai 1.7 juta penduduk dewasa (berumur 18 tahun dan ke atas) menghidap ketiga-tiga penyakit NCD itu.

Seramai 3.4 juta penduduk dewasa pula menghidap sekurang-kurangnya dua NCD utama dan trend semasa menunjukkan peningkatan prevalen NCD membimbangkan, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

KEMATIAN

“NCD juga punca utama kematian di dunia dan di Malaysia yang mana ia menyumbang kepada kira-kira 73 peratus daripada jumlah kematian pada tahun 2019. Daripada jumlah yang dikesan menghidap NCD, hampir separuh daripada mereka tidak mengetahui status penyakit masing-masing.

“Ini menunjukkan kesedaran masyarakat untuk menjalani saringan kesihatan bagi mengetahui status kesihatan masing-masing masih di tahap rendah,” katanya di sini semalam.

Menurut Norhayati, negara kini menanggung beban tinggi kesan daripada peningkatan NCD dalam kalangan masyarakat.

Jika dibiarkan, katanya, tidak mustahil kos rawatan NCD yang perlu ditanggung kerajaan terus meningkat di samping menjejaskan kemajuan serta produktiviti negara.

Beliau turut memberitahu, NCD menjadi pembunuh utama penduduk dunia, yang mana kira-kira 41 juta orang mati akibat NCD setiap tahun.

“Di Malaysia, sebanyak tujuh daripada 10 punca utama kematian adalah disebabkan NCD dan penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu penduduk di negara ini, menyumbang sebanyak 17 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian pada tahun 2020.

Penyakit strok pula menyumbang kepada 8.3 peratus kematian penduduk di Malaysia.
“NCD merupakan penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan kawalan berterusan sepanjang hayat. Berdasarkan National Diabetes Registry, seramai 30,000 ke 50,000 pesakit diabetes dikesan dan didaftarkan setiap tahun.

RAWATAN

“Kini lebih 80,000 pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan. Namun jumlah sebenar adalah lebih tinggi memandangkan terdapat sebahagian pesakit mendapatkan rawatan di fasiilti kesihatan swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Norhayati berkata, Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dilancarkan Julai lalu bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan saringan kesihatan dan menggalakkan masyarakat menjalani saringan kesihatan bagi penyakit NCD agar dapat dikesan di peringkat awal.

Langkah itu membolehkan intervensi dapat dilakukan segera bagi mengawal serta mengelakkan komplikasi penyakit dan berdasarkan rekod MySejahtera sehingga 6 Oktober lalu, seramai 312,391 individu dewasa menjalani saringan kesihatan di bawah NHSI di seluruh negara.

“Melalui kerjasama rakan strategik, seramai 5,950,292 (12 peratus) rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 memanfaatkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

“Bagi golongan pekerja dan pencarum pula, PERKESO menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma bagi yang layak dan pada tahun ini, hampir 9,500 memanfaatkan peluang tersebut,” katanya.

Justeru, beliau menasihati setiap individu untuk mengambil tanggungjawab sendiri ke atas pencegahan penyakit dengan mengamalkan cara hidup sihat melalui pemakanan sihat menggunakan konsep #SukuSukuSeparuh, melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit sehari, lima kali seminggu.

Selain itu, masyarakat perlu berusaha mencapai berat badan ideal dan berhenti merokok; menjalani saringan kesihatan berkala dan patuh kepada rawatan yang diberikan bagi menjamin kualiti hidup sihat sejahtera.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN