160 penoreh redah hutan demi cari rezeki - Utusan Malaysia

160 penoreh redah hutan demi cari rezeki

FIRDAUS Mohamad sedang menoreh getah di sebuah kebun di Kampung Pagi, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 160 penoreh getah di kawasan Ulu Tembeling di sini hidup dalam sukar berikutan harga komoditi itu di paras terendah sejak beberapa tahun lalu sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Sebanyak 80 peratus penoreh itu dalam kalangan belia yang memilih pekerjaan itu semata-mata untuk terus tinggal di kampung lantaran gagal ‘melamar’ pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta selepas tamat sekolah menengah.

Ada antara mereka terpaksa meredah hutan untuk ke kebun getah yang agak jauh dan kerap berdepan risiko keselamatan apabila terserempak dengan haiwan liar seperti kawanan gajah, harimau dan beruang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Kampung Pagi, Firdaus Mohamad, 32, berkata, kehidupannya terhimpit lantaran harga getah cuma sekitar RM2.20 ke RM2.30 sekilogram ketika ini.

“Setiap hari sekiranya cuaca cerah, saya memperoleh seberat kira-kira 30 kilogram getah yang dibekukan dalam cawan. Tetapi, belum tentu boleh bekerja setiap hari memandangkan keadaan cuaca kerap hujan di kawasan ini sejak awal tahun lagi.

“Pendapatan menoreh biasanya dibahagi dua dengan pemilik kebun dan setelah ditolak hanya cukup-cukup untuk keperluan dapur dan kadang-kadang ‘sesak’ apabila hasil jualan kurang,” katanya di sini semalam.

Cerita Firdaus, dalam bulan September lalu sehingga hari ini, dia cuma dapat keluar menoreh di kebun getah yang terletak di pesisir Sungai Tembeling daerah ini hanya enam hari selebihnya bergelut dengan masalah hujan tidak menentu.

Rakannya, Mustapa Abdullah, 27, berkata, selain menoreh getah, dia turut mencari ikan liar komersial di Sungai Tembeling, tetapi, sejak akhir-akhir ini, cuaca tidak menentu menyebabkan peningkatan air serta arus sungai yang deras membantutkan usaha mencari rezeki.

“Pada awalnya, sebelum wabak Covid-19, kita yakin harga getah akan naik setelah mendengar penjelasan daripada agensi berkaitan komoditi ini yang datang ke kampung ini, tetapi segalanya meleset dan cuma naik antara 20 sehingga 30 sen sahaja.

“Ada dalam kalangan kami terpaksa meredah hutan untuk ke kebun getah yang agak jauh dan kerap berdepan risiko keselamatan apabila terserempak dengan haiwan liar seperti kawanan gajah, harimau dan beruang yang juga keluar mencari makanan,” katanya.

Penduduk Kampung Lentun, Ulu Tembeling, Khairun Anuar Yusof, 35, menambah, mereka juga perlu membayar kos upah memunggah getah ke bandar Jerantut antara 30 hingga 50 sen sekilogram dan lebih tinggi bagi penoreh getah tinggal di kampung yang jauh di Ulu Tembeling sekiranya tidak mempunyai kenderaan pacuan empat roda dan bot penambang.

“Rata-rata penoreh mengeluh kerana cuma boleh bekerja kurang 10 hari sebulan akibat hujan lebat sepanjang masa dan kesannya kami benar daif apabila hanya memperoleh antara RM50 hingga RM60 seminggu,” katanya.

Ujarnya, penoreh getah di kawasan Ulu Tembeling mengharapkan kerajaan mengumumkan harga lantai komoditi itu sehingga RM3.50 sekilogram atau lebih supaya mereka mampu ‘bernafas’ walaupun sentiasa tertekan dengan senario cuaca yang tidak menentu ketika ini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN