10 lagi mangsa kes tipu kerja di Kemboja tiba di KLIA -

10 lagi mangsa kes tipu kerja di Kemboja tiba di KLIA

SEBAHAGIAN mangsa skim penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia. - Ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 10 lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan skim pekerjaan di Kemboja selamat tiba di tanah air lewat malam tadi.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, mereka yang berjaya diselamatkan itu dibawa pulang ke Malaysia dengan menaiki sebuah pesawat Air Asia penerbangan AK535 dari Phnom Penh.

“Kesemua mangsa tersebut diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan lanjut sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan bahawa berita kepulangan kumpulan itu tidak diperbesarkan bagi mengelak mangsa diganggu oleh pihak tidak bertanggungjawab di terminal udara berkenaan.

Setakat semalam, ujarnya, seramai 313 orang rakyat Malaysia telah pun berjaya diselamatkan dari empat buah negara rantau Asia Tenggara iaitu Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

Daripada jumlah itu, 255 orang sudah dihantar balik ke Malaysia manakala baki 58 lagi berada di depoh tahanan imigresen di negara-negara tersebut sementara menanti proses pengusiran.

Wisma Putra juga merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan kerajaan Kemboja yang bertindak proaktif bagi mempercepatkan penghantaran pulang.

Kementerian Luar menerusi pejabat perwakilan Malaysia dan pelbagai agensi kerajaan di negara berkenaan turut akan terus bekerjasama bagi menangani isu sindiket jenayah tersebut.

“Rakyat Malaysia juga adalah dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan yang diterima terutama melalui media sosial demi mengelak menjadi mangsa,” tambahnya.

Sekiranya ada individu yang dikenal pasti terjebak dalam sindiket sebegini, waris atau saudara mereka boleh berhubung terus kepada Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia Luar Negara.

Laporan boleh diajukan menerusi e-mel [email protected] selain Kedutaan Besar Malaysia di negara berkenaan yang juga boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]. –UTUSAN

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN