Tidak perlu lagi ke HKL, Hospital Melaka kini ada neurosurgeri 

Tidak perlu lagi ke HKL, Hospital Melaka kini ada neurosurgeri 

RUSDI Abd. Rahman berucap pada majlis penyerahan projek naik taraf sistem bekalan elektrik Hospital Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sistem bekalan elektrik baharu dan penggiliran doktor pakar secara tetap membolehkan pembedahan neurosurgeri kini dilakukan di Hospital Melaka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, perkhidmatan tersebut dijangka berjalan dengan lancar setelah dinaik taraf pada Julai lalu.

Menurutnya, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan sebelum ini terpaksa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Seremban, Negeri Sembilan kerana memiliki kepakaran tersebut.

“Buat masa ini Hospital Melaka memiliki satu bilik unit rawatan rapi (ICU) dan bilik bedah untuk neurosurgeri. Hanya seorang doktor pakar bertugas secara penggiliran.

“Doktor pakar dari hospital lain akan datang ke Melaka secara tetap berbanding sebelum ini yang datang tidak berjadual. Penggiliran boleh dibuat sebulan atau dua minggu sekali, bergantung kepada keperluan. 

“Kita harap pembedahan dapat dilakukan di Hospital Melaka selepas ini. Tambahan pula sistem bekalan elektrik telah dinaik taraf dan diharapkan tidak ada lagi kekangan yang mengganggu perkhidmatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyerahan projek naik taraf sistem bekalan elektrik Hospital Melaka di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengenai rujukan ke hospital lain selepas proses naik taraf berkenaan, Rusdi berkata, rujukan ke hospital lain tetap berlaku jika kes terlalu banyak.

Jelasnya, kekangan itu disebabkan hanya seorang sahaja doktor pakar neurosurgeri di Hospital Melaka.

“Ada juga rujukan kalau terlalu banyak (kes). Sebab seorang saja pakar yang ada buat masa ini.

“Jika tiada halangan selepas ini mungkin kita boleh pilih banyak kes. Lebih ramai pakar yang akan datang (Hospital Melaka) dan kita tidak ada rujukan (hospital lain) lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN