PETALING JAYA: Kelicikan segelintir pegawai bank menggunakan identiti pelanggan untuk membuat pinjaman sebelum wang tersebut dicuri mengakibatkan seorang mangsa menanggung hutang sehingga RM50,000.
Taktik tersebut adalah antara kes penipuan siber yang menggusarkan pelanggan bank, selain isu kehilangan wang secara misteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, taktik menggunakan identiti pelanggan membuat pinjaman itu terbongkar apabila mangsa tampil mencari bantuan kepada 4PM.
TRANSAKSI
Menurut beliau, mengikut cerita mangsa, dia tidak membuat pinjaman daripada bank tempatan yang dinyatakan namun, ada transaksi wang sebanyak RM50,000 dalam dua akaun bank tempatannya.
“Selepas menerima aduan, kita buat siasatan dan hasilnya amat mengejutkan apabila kita dapati ada ‘kerjasama’ antara dua bank yang dipercayai melibatkan pekerja bank untuk memanipulasi identiti mangsa.
“Mereka menggunakan taktik bank A dan bank B berkolaborasi. Bank A guna identiti mangsa tanpa sebarang kebenaran untuk buat pinjaman RM50,000, apabila pinjaman lulus, wang dipindahkan ke bank B atas nama mangsa.
“Selepas itu, wang akan lesap daripada akaun bank B dan mangsa pula terpaksa menanggung hutang.
“Saya cakap dan dedahkan perkara ini sebab saya ada bukti hitam putih berdasarkan kes yang diterima oleh 4PM. Kita pergi ke bank-bank terlibat dan kita juga dapati gambar kad pengenalan mangsa telah ditukar kepada gambar orang lain.
“4PM turun dan siasat dan cari bukti-bukti, kita jumpa pihak atasan bank-bank tempatan ini. Namun kita kecewa apabila tiada kerjasama sepatutnya. Saya hairan kerana pihak bank tetap lindungi pegawai mereka apabila kami mahu jumpa,” katanya.
SUBAHAT
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Izzat Johari berkata, bank tempatan ‘mungkin bersubahat’ selepas secara terang-terangan tidak mahu menjejaki kehilangan duit yang dibuat oleh scammer.
“Sepatutnya kita boleh tahu siapa penerima akaun tersebut. Apabila kita minta kerjasama polis dan bank tempatan, kita tidak dapat secara terus kerana keterbatasan kuasa dan bank sendiri tidak mahu menunjukkan bukti-bukti pengeluaran oleh scammer,’’ katanya.
Katanya, ketika ini banyak aduan berhubung kes duit hilang dari akaun akibat aktiviti scammer namun, pihak bank pula mengambil sikap lepas tangan dan enggan menjalankan tanggungjawab membantu menyelesaikan kes-kes tersebut.
“Transaksi ini berlaku dengan begitu licik, walaupun kita tahu apabila sesuatu amaun duit dipindahkan daripada akaun bank mangsa ke akaun bank scammer sepatutnya kita boleh tahu siapa penerima akaun tersebut.
“Apabila kita dapati perkara ini berlaku, kita cuba minta kerjasama polis dan bank tempatan malangnya, kita tidak dapat secara terus kerana keterbatasan kuasa apabila pihak bank sendiri tidak mahu menayang ataupun menunjukkan bukti-bukti pengeluaran oleh scammer,” katanya.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi PULA berkata, pihak bank perlu bertanggungjawab dengan ketirisan dalaman yang berlaku dan tidak meletakkan liabiliti kepada pelanggan.
“Pihak bank seharusnya bertanggungjawab dengan apa-apa yang kakitangan mereka lakukan, orang ramai tidak boleh menanggung liabiliti atas kecuaian mereka sehingga pelanggan kehilangan duit.
“Bank adalah pihak yang bertanggungjawab memegang duit orang ramai di dalam akaun, jadi mahu atau tidak mereka tetap perlu menanggung akibat sekiranya berlaku perkara-perkara ini. Pihak bank perlu ambil tindakan tegas terhadap kakitangan mereka yang gemar mencari duit tepi sehingga sanggup menggadaikan simpanan pelanggan,” katanya.
BIOMETRIK
Sementara itu, Samsudin Mohamad mencadangkan bank-bank tempatan mengenalkan sistem biometrik atau pengesahan cap jari di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM).
Jelasnya, langkah tersebut menjadi titik noktah kepada masalah-masalah yang berpunca daripada kegiatan scammer, kerana pembaharuan teknologi itu enghalang sindiket penipuan atas dalam menggunakan akaun keldai.
“Kalau tiada akaun mereka takkan boleh nak buat kerja-kerja haram ni sebab sekiranya menggunakan akaun sendiri mudah ditangkap oleh pihak berkuasa. Andai kata sistem biometrik ini boleh diperkenalkan, saya yakin isu scammer ni menurun dengan mendadak.
“Saya harap pihak berkaitan ketepikan ego mereka dan cuba dengar apa nasihat-nasihat yang diberikan oleh NGO ni, kenapa negara luar boleh dengar pendapat NGO mereka tetapi kita begitu sukar? Sampai bila kita nak berdepan dengan situasi penipuan ni?” soalnya. – UTUSAN