Saingan sengit punca 20,732 calon layak gagal tawaran kali

Tempat terhad 20,732 calon yang layak gagal masuk universiti awam

Prof. Dr. Husaini Omar (kiri) bersama Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin bercakap dalam sidang akhbar berhubung UPUOnline di Kementerian Pengajian Tinggi di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persaingan sengit terutama bagi permohonan program kompetitif di Universiti Awam (UA) antara punca 20,732 calon layak dan melepasi syarat am, gagal mendapat tawaran kali pertama ke universiti yang diumumkan pada 25 September lalu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar berkata, pihaknya menerima sejumlah 115,477 permohonan daripada calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, namun, hanya 90,745 calon layak dan melepasi syarat am berbanding 71,615 kapasiti tempat yang disediakan di 20 UA bagi kemasukan sesi akademik 2022/2023.

Daripada jumlah keseluruhan permohonan itu, sebanyak 48,665 calon kategori STPM, matrikulasi, asasi, 2,964 Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 19,976 calon diploma atau setaraf. 

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka yang gagal permohonan kali pertama itu boleh membuat rayuan yang masih dibuka sehingga 5 Oktober ini dan pemohon dibenarkan mengemukakan empat pilihan sahaja berbanding 12 pilihan yang diberikan kali pertama.

Menurut beliau, persaingan tinggi untuk 10 program kompetitif sekurang-kurangnya tiga kali ganda jumlah permohonan diterima berbanding penawaran tempat.

Sebagai contoh, katanya, bagi program perubatan, seramai 1,841 calon layak, namun 692 hanya ditawarkan tempat; program perakaunan (4,258 calon layak, 1,502 tempat) dan program undang-undang (1,660 calon layak, 541 tempat).

Beliau berkata, antara sebab mereka yang gagal ialah tidak memenuhi syarat khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutamanya program kompetitif, gagal dalam saringan temuduga atau ujian selain kedudukan merit rendah.

“Namun, jika masih gagal di peringkat rayuan, jangan anggap tiada lagi peluang belajar. Calon boleh membuat permohonan kemasukan terus ke universiti. Mereka juga ada pilihan masuk ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang turut ada ditawarkan biasiswa dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN). 

“Rayuan ke Kolej Komuniti dan institut latihan kemahiran awam (ILKA) adalah melalui institusi tersebut dan bukan melalui UPUOnline. Hanya rayuan ke UA, politeknik sahaja melalui UPUOnline.

“Tempat di universiti awam adalah terhad dan sekarang ini kompetitif terlalu tinggi untuk mendapatkan tempat sekali gus menunjukkan satu perkara baik kerana bakat untuk masuk universiti adalah terbaik dalam kalangan terbaik iaitu bakat masa depan negara,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Husaini berkata, permohonan melalui UPU Online itu turut menyediakan empat laluan khas melibatkan golongan B40, orang kurang upaya (OKU), komuniti orang asli dan atlet berdasarkan data yang diperoleh daripada pelbagai agensi.

Katanya, hampir 100 peratus calon yang memohon daripada empat kategori itu ditawarkan tempat ke universiti iaitu kesemua 126 calon OKU ditawarkan tempat; 86 daripada 106 orang asli berjaya mendapat tempat selain 32 daripada 39 atlet diterima masuk universiti.

Bagi golongan B40 pula, 75.8 peratus ditawarkan tempat ke universiti iaitu seramai 23,032 calon mendapat tempat berbanding 30,389 permohonan layak.

Pada masa sama, Husaini berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk memasukkan sebab kenapa setiap pemohon gagal dalam sistem UPU Online akan datang berbanding ketika ini hanya menyatakan calon berjaya atau gagal.

Langkah itu, katanya boleh memberi maklumat awal kepada calon berhubung punca kegagalan untuk mendapat tawaran sehingga memberi persepsi negatif terhadap sistem UPU Online itu sendiri.

Sebelum ini, Utusan Malaysia me­laporkan rungutan segelintir pelajar cemerlang menyalahkan sistem Unit Pusat Universiti (UPU) yang didakwa tidak adil dalam memilih calon daripada pelbagai peringkat termasuk lepasan asasi, matrikulasi, STPM dan diploma untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti awam.

Hal ini terdapat dalam kala­ngan mereka memperoleh keputusan cemerlang, sebaliknya gagal mendapat tempat di mana-mana IPTA. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.