Suria, Kala berjaya ‘pujuk’ Wea dan Sey - Utusan Malaysia

Suria, Kala berjaya ‘pujuk’ Wea dan Sey

GAJAH jantan liar yang diberi nama Wea dan Sey berusia lingkungan 10 hingga 15 tahun ditangkap pada Khamis lalu selepas menceroboh kebun serta kediaman penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Peria, Kampung Lepan Jenut dan Manek Urai sejak dua bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Dua ekor gajah denak, Suria dan Kala dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka, Hulu Terengganu memperagakan kepakarannya apabila berjaya memujuk dua ekor gajah jantan liar dalam operasi pemindahan di Kampung Sungai Peria, di sini, meskipun terpaksa mengambil masa selama empat jam hari ini.

Gajah jantan liar yang diberi nama Wea dan Sey berusia lingkungan 10 hingga 15 tahun ditangkap pada Khamis lalu selepas menceroboh kebun serta kediaman penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Peria, Kampung Lepan Jenut dan Manek Urai sejak dua bulan lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohd. Hafid Rohani berkata, seramai 26 kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pusat Konservasi Gajah Terengganu dan Perhilitan Negeri Kelantan membantu dalam operasi pemindahan ini.

Menurutnya, kedua-dua gajah liar berkenaan akan dibawa dan dilepaskan semula di Taman Negara, Terengganu.

“Operasi menangkap dua ekor gajah liar itu dilakukan pada Khamis lalu yang dijalankan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG), Jabatan Perhilitan Kelantan pada Khamis lalu.

“Kedua-dua ekor gajah itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal Sungai Rek di sini. Populasi gajah liar yang tinggal kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 12 ekor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Hafid memberitahu, kedua-dua ekor gajah liar yang ditangkap itu terdiri daripada kumpulan gajah yang sama mengganggu tanaman penduduk di beberapa buah perkampungan di Lata Rek antaranya di Kampung Tok Uban dan Kampung Chatin sejak Mei lalu.

Katanya, beberapa siri operasi tangkapan telah dijalankan di kawasan berkenaan sebelum ini, namun, tidak berhasil menangkap haiwan liar itu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Hafid berkata, pihaknya telah menangkap sebanyak 14 ekor gajah liar sepanjang tahun ini dengan enam ekor di Jeli, Gua Musang (empat ekor) dan Kuala Krai sebanyak empat ekor.

“Oleh itu, cadangan pembinaan sistem pagar elektrik gajah (SPEG) merupakan langkah terbaik bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun sekali gus dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun.  

“Bagaimanapun, pembinaan SPEG perlu dijalankan mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi memastikan ia berfungsi dan efektif,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN