KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya konsep diyat atau pembayaran pampasan ke atas banduan hukuman mati sedia ada termasuk untuk pesalah bukan Islam segera dilaksanakan.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, setakat ini konsep tersebut masih di peringkat kajian walaupun telah lama dikemukakan kepada baginda.
“Saya minta pihak yang berkenaan supaya menentukan cadangan saya supaya hukuman (konsep) diyat dapat dikaji dan dilaksanakan.
“Lima atau enam tahun saya telah mengemukakan cadangan perkara itu tetapi masih lagi di peringkat kaji dan kajian, berbincang, sampai tua, saya sudah bercucu,” titah baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang yang diberi nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di Indera Mahkota di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah
Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah bertitah, agar kes-kes di Mahkamah Syariah seperti kes kekeluargaan harta pusaka diselesaikan dengan secepat mungkin agar tiada kes tertunggak.
Titah baginda, hakim-hakim Mahkamah Syariah juga diminta mengkaji dan mempertimbangkan agar hukuman berbentuk servis komuniti dapat diambil kira dan dilaksanakan bagi membolehkan mereka berbakti kepada masyarakat.
“Ini kerana kadangkala ada juga kesalahan yang nampak setimpal, tidaklah sebegitu besar, sekurang-kurangnya kita tidak nampak ada penindasan terhadap mereka-mereka yang mempunyai masalah yang boleh diselesaikan mengikut budi bicara,” titah baginda. – UTUSAN










