Saya tidak siasat senarai perbelanjaan kempen PRU-14 Syed

Saya tidak siasat senarai perbelanjaan kempen PRU-14 Syed Saddiq 

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu beliau tidak mengetahui mengenai 10 senarai perbelanjaan berjumlah RM171,675 bagi kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada agensi terbabit. 

Sehubungan itu, Nurul Hidayah Kamarudin, 33, yang merupakan saksi pendakwaan ke-28 berkata, beliau hanya akan melakukan siasatan sekiranya diberitahu mengenai senarai itu. 

Beliau berkata demikian semasa disoal balas semula oleh peguam bela, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq pada perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu. 

Senarai perbelanjaan yang dikatakan dikemukakan Syed Saddiq kepada SPRM membabitkan bayaran deposit calon (RM10,000); deposit bahan kempen (RM5,000); permit iklan pilihan raya (RM200); iklan pilihan raya (RM50); cenderahati (RM51,784); kos penginapan (RM2,120); peredaran dan pengiklanan (RM29,100); percetakan (RM69,491); fotostat (RM750) dan lencana butang (RM3,180).

Nurul Hidayah dalam keterangannya turut menyatakan, beliau hanya menyiasat mengenai wang berjumlah RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise namun saksi itu tidak dapat memastikan sama ada wang terbabit adalah wang pendahuluan milik Syed Saddiq untuk kempen pilihan raya. 

Selain Nurul Hidayah, dua lagi pegawai penyiasat SPRM turut dipanggil memberikan untuk keterangan iaitu Mohd. Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Pihak pendakwaan hari ini menutup kes pendakwaan selepas selesai memanggil 30 saksi.

Mahkamah menetapkan 6 dan 7 Oktober depan untuk hujahan di akhir kes pendakwaan. 

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, yang didakwa atas empat pertuduhan. Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana berjumlah RM1 juta milik parti itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya