PUTRAJAYA: Dana sebanyak RM50 juta akan disediakan dalam masa terdekat bagi membantu penerbit filem menghasilkan karya berunsur kenegaraan dan mempunyai elemen perpaduan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi membolehkan satu peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta.
Beliau berkata, penggiat industri filem perlu dibantu lebih lagi, bukan sekadar Dana Kandungan Digital (DKD) dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) sahaja.
“Kerajaan mahu menggalakkan penerbitan pelbagai genre filem serta meraikan mereka yang mempunyai idea kreatif tetapi kos penggambaran sesebuah filem adalah tinggi terutama apabila melibatkan pelbagai perbelanjaan.
“Saya cuba melihat pelbagai peluang supaya ia menjadi fleksibel dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) boleh pilih filem yang patut diberikan sokongan khas,” katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran OST dan Treler Filem SERATUS di sini hari ini.
Annuar berkata, penggiat filem perlu dibantu dan disokong sejak dari proses awal penghasilan filem bagi memastikan ia berkualiti dan setanding filem luar.
“Faktor kejayaan sebuah filem juga bergantung kepada lakonan, skrip dan strategi pemasaran, maka, tiga perkara ini penting untuk majukan filem tempatan.
“Saya percaya industri filem tempatan boleh diangkat ke tahap lebih baik dengan syarat penerbit dan pihak terlibat mestilah bersedia melakukan sesuatu di luar dari kelaziman,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, mengulas mengenai Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32 yang akan diadakan di Melaka pada 2 Disember ini, Annuar berkata, buat masa ini, 17 syarikat penerbitan filem luar negara akan menyertainya.
“Festival ini akan menjadi peluang pertemuan antara mereka dengan penggiat industri filem tempatan sekali gus mempromosikan filem tempatan kerana ia akan dihadiri penerbit dan pengarah filem dari luar,” katanya. –UTUSAN