KUALA LANGAT: Seorang remaja lelaki nyaris rentung apabila kediaman keluarganya di Kampung Jenjarom, Banting di sini, musnah terbakar hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 18 tahun sedang nyenyak tidur di rumah tersebut, namun, terselamat selepas berjaya keluar dari rumah kayu dua tingkat itu.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.47 pagi bersama sepasukan lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, Telok Panglima Garang dan Andalas.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan.
“Api bagaimanapun berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit dan dan melibatkan 80 peratus kemusnahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Norazam, ketika kejadian, remaja itu hanya bersendirian di dalam rumah tersebut.
“Lapan ahli keluarganya yang lain dipercayai sedang bercuti di sekitar Terengganu. Mangsa sedang tidur di bilik tingkat bawah dan keluar menyelamatkan diri selepas menyedari kebakaran itu,” ujarnya.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. –UTUSAN