GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kesemua agensi terlibat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, persediaan yang dilakukan itu adalah berdasarkan pengalaman kerajaan negeri dan agensi terlibat yang pernah berdepan dengan bencana banjir sebelum ini.
“Beberapa tindakan diambil oleh Unit Pengurusan Bencana sebagai persediaan seperti pelantikan Focal Persons Pengurusan Bencana di semua pejabat daerah dan tanah (PDT) dan jabatan serta agensi di negeri Pulau Pinang.
“Tiga kakitangan daripada setiap PDT dilantik sebagai Focal Person Pengurusan Bencana bagi mengeratkan lagi jaringan kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Menurut Kon Yeow, Jabatan Kewangan negeri juga meluluskan RM400,000 bagi tujuan pembelian atau perolehan aset serta bekalan pengurusan bencana.
Peruntukan itu, jelas beliau, akan diagihkan kepada semua PDT mengikut permohonan dan aset serta perolehan bagi peruntukan khas tersebut perlu dibuat tahun ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menerima sumbangan sebanyak 4,744 unit C-Tent (khemah) yang mana telah diagihkan kepada semua PDT sebagai langkah siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
”Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pasukan tindakan kecemasan (ERT) kampung, komuniti dan lain-lain pertubuhan berkaitan juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan pembersihan parit, longkang dan saliran serta sungai-sungai bagi memastikan tiada masalah saliran tersumbat berlaku ketika musim monsun.
”Masalah saliran tersumbat boleh menyebabkan berlaku banjir kilat dan kita juga mahu orang awam bekerjasama dengan tidak membuang sampah merata-rata seperti ke dalam longkang atau sungai,” katanya.
Selain itu ujar beliau, PBT juga diminta untuk memotong dahan pokok-pokok di tepi jalan supaya tidak jatuh atau tumbang ke dalam longkang ketika angin serta hujan lebat berlaku. –UTUSAN