Pod pakai buang ancaman baharu remaja - Utusan Malaysia

Pod pakai buang ancaman baharu remaja

POD pakai buang atau disposable pod kini ditawarkan pada harga serendah RM10 dan bebas dijual secara dalam talian termasuk di platform-platform terkemuka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Trend disposable pod atau pod pakai buang yang semakin popular dalam kalangan penghisap vape dilihat berpotensi mendatangkan ‘ancaman baharu’ kepada persekitaran masyarakat.

Mana tidaknya, jika dahulu kos untuk memiliki rokok elektronik memerlukan perbelanjaan besar sehingga ratusan ringgit, namun kini peranti berkenaan boleh dibeli oleh semua golongan termasuk pelajar sekolah kerana dijual terlalu murah di bawah RM10 berdasarkan jumlah sedutan (puff) ditawarkan.

Perkembangan itu mewujudkan kebarangkalian pertambahan pengguna baharu terutama kelompok bawah umur, yang mana ia tidak membantu mengurangkan jumlah perokok sedia ada.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka Tengah, Dr. Khair Razlan Othman berkata, kerajaan perlu memperkenalkan harga lantai seperti mana diaplikasikan terhadap penjualan produk tembakau.

Beliau berkata, meskipun rata-rata kedai menjual vape ada menguatkuasakan larangan memasuki dan membeli untuk individu berusia 18 tahun ke bawah, namun ia belum dilihat memadai kerana akses penjualan bebas secara dalam talian termasuk di platform-platform terkemuka.

“Kalau rokok pengguna perlu mendapatkan secara fizikal, tidak boleh melalui dalam talian. Kerajaan perlu melihat daripada sudut penggunaan vape khususnya trend pod pakai buang ini. Naratif yang diguna pakai oleh penghisap vape ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap rokok.

“Walhal daripada pengamal perubatan, vape bukanlah satu pilihan yang selamat untuk menggantikan rokok. Kalau rokok kandungannya perlu didedahkan dan pada kadar yang tertentu, tapi kapasiti vape ini boleh dipertikai keselamatannya berdasarkan faktor produk yang dahulunya beratus ringgit kini dijual di bawah RM10.

“Kita takut usaha giat kerajaan untuk mewujudkan generasi bebas rokok berada pada game yang salah. Usaha untuk mematikan tabiat merokok ini tetapi jika tiada pemantauan terhadap perkembangan industri vape ia mewujudkan satu ruang yang lain, yang mungkin lebih parah,” katanya ketika ditemui.

Untuk rekod, industri vape negara ini bernilai RM2.27 bilion seperti didedahkan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).

Dalam kenyataan dikeluarkannya tahun lalu sempena pelancaran laporan bertajuk Kajian Industri Vape Malaysia, DPVM telah menyeru kerajaan untuk serta-merta memperkenalkan peraturan yang sewajarnya bagi mencipta kesan pengganda positif ke atas ekonomi Malaysia.

Sementara itu, Khair Razlan turut membangkitkan isu keselamatan pengguna daripada sisi kualiti cecair perasa yang digunakan dan standard elektronik memandangkan pod pakai buang itu turut menggunakan kuasa bateri.

Tegasnya, ia dikhuatiri mampu mendatangkan risiko kecederaan seperti letupan dan sebagainya.

Jelasnya, ini kerana undang-undang negara mewajibkan semua peralatan elektronik mendapat perakuan keselamatan daripada pihak berwajib seperti Sirim Berhad (Sirim).

“Daripada etika kejuruteraan, sesuatu produk elektronik perlu mendapat perakuan keselamatan, contohnya di Malaysia kita ada Sirim. Keselamatan dan isu kesihatan pengguna di sini harus dipersoal dan diberi perhatian oleh semua pemegang taruh,” ujarnya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya