PH tak mahu ambil tahu soal musuh, hanya kemuka alternatif

PH tak ambil tahu soal musuh, hanya kemuka alternatif kepada rakyat

ANWAR Ibrahim ketika hadir pada program dialog bersama anak muda di Pendang Lake Resort di Pendang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Pakatan Harapan (PH) tidak mahu mengambil pusing mengenai siapa yang menganggap mereka musuh dengan segala tumpuan kini diberikan kepada usaha untuk mengemukakan alternatif terutamanya dari sudut dasar kepada rakyat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin saling menuduh kedua-duanya gagal, projek-projek berkaitan usaha membela nasib rakyat seakan sudah tidak lagi kedengaran.

“Ini bukan soal permusuhan sebaliknya kita nak ketengahkan alternatif kepada kepincangan dan kegagalan yang ada pada masa ini. Barisan Nasional (BN) dan PN saling menuduh mereka gagal jadi kita nak kemukakan alternatif yang baik.

“Yang penting diutamakan dalam hal ini adalah isu rakyat, kos sara hidup, harga barang, kos benih, baja, makanan haiwan dan sebagainya. Perkara ini tidak ditangani kerajaan dan yang kita dengar hanyalah Perdana Menteri serta Muhyiddin mengatakan mereka saling gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program dialog bersama anak muda di Pendang Lake Resort di sini, semalam.

Diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kesediaan Pas berlawan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya perbincangan membentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu gagal mencapai kata sepakat, Anwar sekali lagi enggan melibatkan PH dalam hal itu.

“Itu masalah Pas dan UMNO di mana mereka hanya bincang soal menang kerusi sedangkan kami (PH) hanya bincang soal dasar alternatif bagi rakyat. Ada bezanya di situ.

“Sekarang ini pun mereka sedang perintah tetapi apa bezanya pemerintahan PN dengan BN? Bagi saya tak ada perbezaan kerana kos sara hidup, masalah rakyat, mutu pendidikan dan kesihatan masih sama malah rasuah pun belum berhenti,” katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata, pihaknya ketika ini sedang meningkatkan usaha untuk memastikan Kedah dapat kembali ditawan PH.

“Soal ‘poster boy’ dan sebagainya, kita akan putuskan tidak lama lagi dengan ada beberapa rundingan dilaksanakan malam tadi dan hari ini. Saya percaya negeri akan putuskan perkara itu berdasarkan pertimbangan serta muafakat antara mereka,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN