Perlu jelaskan isu OPV Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

Perlu jelaskan isu OPV Maritim Malaysia

MUJAHID bersama-sama pemimpin dan wakil daripada lima NGO selepas Program Ramah Mesra Bersama NGO-NGO Melayu di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pihak kerajaan dituntut untuk memberikan penjelasan tentang isu kapal peronda luar pesisir (OPV), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang gagal disiapkan walaupun RM500 juta sudah dibelanjakan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, isu tersebut akan memberi kesan terhadap peluang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika kelewatan atau masalah projek itu tidak dijelaskan secara telus serta terperinci.

“Dalam isu ini saya tidak tuduh tapi buatlah forensik audit (berhubung projek berkenaan) supaya tahu apa masalahnya. Kalau buat audit, kita boleh lihat siapa ada kepentingan, kenapa RM500 juta dah keluar tapi tak siap lagi.

“Saya cakap sebab ada bukti. Bekas Presiden Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd. Hamid sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Februari lalu. 

“Pastinya kalau tidak ada jawapan, ini akan menjadi antara isu utama pada PRU15,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dan berdialog dalam Program Ramah Mesra Bersama NGO-NGO Melayu di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Pemimpin Pesara Guru, Datuk Jemale Paiman.

Akhbar sebelum ini melaporkan, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim membuat laporan polis ke atas Mujahid kerana mendakwa memfitnahnya berkaitan kontrak OPV.

Isu OPV

Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu, isu OPV akan menjadi isu terbaharu sama seperti isu penyelewengan kes kapal tempur  (LCS) yang dijangka menjadi isu hangat dan sukar ditepis BN pada PRU15.

Mujahid yang juga Pengerusi PH Perak berkata, kedua-dua isu ini umpama bom jangka buat BN semasa berkempen pada PRU15 kelak. 

Mengenai pertemuan hari ini, beliau memberitahu, itu merupakan rangka lawatan dan jelajah program Inisiatif Melayu Bermaruah (IMB) bertujuan mengembalikan semula maruah orang Melayu kerana sejak akhir-akhir ini terdapat pemimpin Melayu terpalit dengan kes-kes rasuah.

Program anjuran Amanah itu bagi membetulkan tanggapan dalam kalangan orang Melayu yang beranggapan hanya UMNO parti yang boleh memimpin atau membela nasib kaum itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya