Perlis tambah baik PPS persediaan hadapi banjir - Utusan Malaysia

Perlis tambah baik PPS persediaan hadapi banjir

RUZAINI Rais bergambar bersama agensi bantuan bencana dan NGO setempat selepas menjalankan simulasi pengurusan PPS di Dewan Rumah Anak Yatim Mak Teh di Kangar, Perlis, hari ini- UTUSAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan menambah baik pusat pemindahan sementara (PPS) untuk keselesaan mangsa-mangsa sebagai persediaan menghadapi banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Bantuan Bencana negeri, Ruzaini Rais berkata, sebanyak RM485,000 diperuntukkan untuk bantuan pemulihan manakala peruntukan Kerajaan Persekutuan RM30,000 pula digunakan untuk pembelian peralatan.

Katanya, usaha menambah baik fasiliti tersebut seperti pengubahsuaian bilik mandi dan tandas akan diberikan keutamaan kepada PPS yang menjadi tumpuan semasa bencana seperti di kawasan Pauh yang sering banjir.

“Di Perlis, terdapat 71 PPS telah dikenal pasti seperti sekolah, balai raya dan pusat komuniti yang mampu menempatkan 24,450 mangsa pada satu-satu masa.

“Selain itu, agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya telah bersiap-siaga dengan kekuatan anggota seramai 343 orang merangkumi 200 pegawai, kaunselor, pegawai psikologi, sokongan sukarelawan kaunselor dan 120 sukarelawan.

“Selain itu, pasukan tersebut turut bekerjasama dengan rakan strategik jabatan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perlis Volunteer Action Community (PVAC), Persatuan Pacuan Empat Roda Perlis, Persatuan Radio Amatur Perlis dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Simulasi Pengurusan PPS di Dewan Rumah Anak Yatim Mak Teh di sini hari ini.

Simulasi tersebut disertai 200 wakil agensi bantuan bencana seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Jabatan Kesihatan negeri dan lain-lain.

Menyentuh mengenai pemberian pek makanan menggunakan teknologi ‘retort’ sebagai bantuan awal kepada mangsa bencana, Ruzaini memaklumkan, perkara itu adalah pilihan pihak pengurusan bencana.

Katanya, pihak pengurusan bencana mempunyai pilihan sama ada untuk menggunakan kaedah tersebut atau memilih menggunakan kaedah yang sedia ada iaitu memasak secara gotong-royong di PPS.

“Sebelum ini, kita menggunakan kaedah gotong-royong melibatkan kerjasama anggota sukarelawan, agensi kerajaan serta orang ramai yang datang membantu.

“Bagi saya, apa yang penting adalah kemampuan kita boleh menyediakan makanan pada kadar segera kepada mangsa dan pemberian pek makanan ‘retort’ adalah pilihan yang kita ada,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memohon kerjasama orang ramai terutama mangsa bencana atau mereka yang tinggal di kawasan berisiko memuat turun aplikasi Sistem Info Bencana JKM bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan PPS yang dibuka. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya