BALING: Perdana Menteri hari ini melawat Kampung Iboi yang menjadi lokasi paling teruk terjejas dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kupang, pada 4 Julai lalu.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau jambatan sementara jenis Bailey yang dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat dilanda arus deras.
Beliau selepas itu diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Baling, Mohd. Shahadan Abdullah berkaitan tragedi terbabit selain tindakan susulan yang dilakukan pihak berkuasa dan agensi kerajaan.
Ismail Sabri dalam lawatan kerja dua hari beliau ke negeri ini turut bertemu dan bertanya khabar penduduk kampung di situ yang menjadi mangsa tragedi berkenaan.
Turut serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Perdana Menteri seterusnya melawat tapak pembinaan rumah baharu mangsa di Kampung Desa Keda Sadek di sini sebelum menghadiri Majlis Doa Selamat Sempena Kemerdekaan Negara ke-65 dan Pasca Banjir daerah Baling di Kampung Teluk Durian, di sini.
Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, tiga sekeluarga maut selepas rumah mereka musnah dan lenyap sepenuhnya akibat dilanda kepala air.
Tiga mangsa yang maut ialah wanita hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan ibu mertuanya, Salmah Mat Akib, 53, serta anak Salmah, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.
Kejadian turut mengakibatkan 17 rumah yang terletak berhampiran Sungai Kupang lenyap sementara lebih 1,000 rumah terjejas teruk. –UTUSAN