fbpx

Pengusaha ternakan babi Tanjung Sepat diarah bersih ladang, sistem kumbahan

HEE Loy Sian mendengar taklimat pegawai agensi berkaitan ketika meninjau ladang ternakan babi di sekitar Tanjung Sepat, baru-baru ini.

SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengarahkan semua pengusaha ternakan babi di Tanjung Sepat supaya segera melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan ke atas ladang dan sistem kumbahan mereka.

Selain itu, najis ternakan berkenaan diarahkan supaya dilupuskan di luar kawasan ladang dan dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya memandang serius isu pencemaran yang dilaporkan Utusan Malaysia pada 15 September lalu.

Kata beliau, lawatan bersepadu dijalankan JPV, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat (PDTKL) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di beberapa premis ladang ternakan babi di Tanjung Sepat, 23 September lalu.

“Hasil lawatan mendapati pencemaran sumber air berlaku kerana kaedah penternakan dan kawalan pencemaran konvensional iaitu bukan kaedah penternakan tertutup seperti kaedah Modern Pig Farming.

“Pengurusan kumbahan najis ternakan hanya melalui pengumpulan di kolam takungan di premis ternakan dan efluen disalirkan ke perparitan luar premis dan perairan pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Loy Sian, selain JPV, LUAS akan mengarahkan pemilik tanah berkaitan segera melaksanakan tindakan pemulihan saliran parit sehingga air yang dilepaskan keluar daripada lot tanah tidak mencemarkan.

“Pensampelan kualiti air juga akan dilaksanakan dan tindakan perundangan diambil sekiranya berlaku elemen pencemaran.

“Bagi jangka panjang, sesi dialog bersama persatuan dan semua pengusaha penternakan babi di Selangor akan dijalankan terutama menyelaraskan perancangan dan memperkemaskan pengurusan operasi ternakan,” ujarnya.

Kata beliau, rekod JPV menunjukkan sebanyak 118 premis ternakan babi aktif beroperasi di Kuala Langat dan Sepang.

“Ternakan itu dijalankan di atas tanah lot berstatus pertanian.

“Kesemua premis berkenaan juga beroperasi dengan lesen yang didaftarkan oleh JPV,” katanya.

Tambah Loy Sian, aktiviti ternakan babi di Selangor tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991, Kaedah-Kaedah Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Selangor) 2012 dan Garis Panduan Pengurusan Sisa Buangan Ternakan Babi (Edisi 1, 2019).

Laporan khas Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.

Tinjauan di sekitar Kampung Ladang Tumbuk mendapati, kedudukan kandang babi di hanya terletak 50 hingga 200 meter dengan penempatan penduduk melibatkan sempadan Kuala Langat, Teluk Bunut serta Tanjung Sepat. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN