Pencemaran babi: penduduk sedia saman kerajaan negeri -

Pencemaran babi: penduduk sedia saman kerajaan negeri

PEMANDANGAN udara tapak ternakan babi yang terletak berhampiran pantai dicemari dengan bahan kumbahan babi di Tanjong Sepat di sini baru-baru ini. -UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penduduk Tanjung Sepat sedia memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Selangor akibat kegagalan pentadbiran mereka yang membiarkan masalah pencemaran babi terus berlaku tanpa apa-apa tindakan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang wakil penduduk, Mazni Shamsuddin berkata, bagaimanapun, perkara itu perlu dibincangkan bagi mendapatkan persetujuan bersama untuk mengambil tindakan berkenaan sebagai salah satu usaha memperjuangkan hak asasi manusia.

Kata beliau, pihaknya akan mendapatkan nasihat dan rujukan daripada pakar berkaitan undang-undang sekiranya ada ruang ke arah itu demi membela nasib penduduk yang berterusan menderita terpaksa berkongsi hidup dengan babi sejak 30 tahun lalu.

“Apa yang utama kita akan merujuk kepada pihak yang berkaitan untuk meminta nasihat dalam hal ini.

“Pihak terbabit juga mesti mampu memberi nasihat dan jalan terbaik dalam urusan saman ini. Saya rasa kalau ini berlaku akan ada sebuah jawatan kuasa yang akan ditubuhkan, kita akan bincangkan bersama,” katanya di sini semalam.

Cadangan tindakan undang-undang itu disuarakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) semalam yang menyarankan penduduk Tanjung Sepat turut mengenakan saman kepada agensi dan jabatan berkuasa susulan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi.

Tindakan itu boleh diambil di atas kapasiti hak asasi manusia yang merangkumi akses kepada alam sekitar yang bersih dan bukan tercemar kerana aspek itu diikitiraf Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNHRC) yang mana turut ditandatangani Malaysai bersama negara lain.

Peka turut berharap penduduk yang menderita membentuk satu jawatankuasa untuk mengenakan saman kerajaan negeri, majlis daerah, Jabatan Veterinar daerah, Exco Alam Sekitar dan Jabatan Alam Sekitar negeri yang gagal memantau dan mengambil tindakan terhadap pencemaran selama tiga dekad.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.

Tinjauan di sekitar Kampung Ladang Tumbuk mendapati, kedudukan kandang babi di hanya terletak 50 hingga 200 meter dengan penempatan penduduk melibatkan sempadan Kuala Langat, Teluk Bunut serta Tanjung Sepat, di sini.

Terdapat 168 kandang ternakan babi di Kampung Ladang Tumbuk dengan anggaran 200,000 ekor babi diternak pada satu-satu masa untuk pasaran tempatan dan luar negara. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya