PETALING JAYA: Perbuatan seorang pembantu rumah warga asing yang mencuri barangan kemas bernilai RM10,000 milik majikannya memakan diri apabila ditahan polis semalam.
Malah, turut memajak barangan kemas itu di dua kedai pajak gadai masing-masing di Jalan Wawasan dan Jalan Ampang dekat sini.
Apabila perbuatannya terbongkar, suspek turut berjanji untuk menggantikan semula barang kemas itu, namun, bertukar fikiran apabila melarikan diri sehari kemudian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, majikan suspek yang juga seorang wanita berusia 63 tahun kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.
Susulan itu, katanya, polis menyerbu dua premis pajak gadai berdasarkan tiga resit yang diberikan suspek kepada mangsa.
“Hasil soal siasat kemudian membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun yang bekerja sebagai pengurus di premis berkenaan pada 10.30 pagi semalam.
“Antara barangan yang dirampas dari premis pajak gadai adalah sepasang subang dan dua utas rantai dipercayai milik mangsa yang digadai suspek,” katanya hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut kemudian berjaya mengesan suspek utama yang menyembunyikan diri di sebuah hotel di Jalan Dagang, di sini, pada pukul 3.45 petang semalam.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek dibebaskan selepas keterangan diambil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.- UTUSAN










