PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berbincang semula dengan Pas berhubung siapa ‘musuh’ sebenar parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini, Pas bebas untuk menentukan siapa musuh mereka, namun, ia akan dibincangkan kembali apabila hampir dengan PRU15.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya tidak boleh mengatur dan menghalang keputusan parti itu buat masa ini.
“Pas bagi pandangan begitu kerana belum ada pilihan raya tapi bila sudah hampir, kita akan duduk bersama dan berbincang.
“Saya tak boleh kata jangan itu jangan ini. Tak apa lah buat, saya nak tengok apa hasilnya.
“Adakah UMNO bersetuju dan ‘peluk’ mereka dan ajak untuk bersama dalam Muafakat Nasional (MN), saya kurang pasti,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu, di sini hari ini.
Katanya, beliau tidak mahu membuat sebarang telahan, namun ia akan dibincang atas semangat musyawarah.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun pada PRU15 nanti.
Menurutnya, pendirian itu sekali gus tidak menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh mereka pada PRU15.
Spekulasi itu dikuatkan dengan satu pertemuan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Selasa lalu.
Ia sekali gus menguatkan cakap-cakap bahawa (MN) akan dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU15.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis sambutan itu, Muhyiddin berkata, PN yang diwakili Bersatu, Pas dan Gerakan memutuskan bahawa BN adalah musuh sebenar mereka pada pilihan raya akan datang dan bukannya Pakatan Harapan (PH).
“Antara yang disepakati adalah musuh utama kita adalah BN. Kita jangan takut dan gentar kerana kita ada nawaitu untuk menyelamatkan negara,” katanya. –UTUSAN