PUTRAJAYA: Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan luar bangunan kawasan sekolah tidak lagi diwajibkan sebaliknya mengikut pilihan masing-masing.
Ketetapan baharu itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi rakaman video di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, pemakaian pelitup muka masih digalakkan dalam sekolah terutama di tempat yang ramai orang.
Bagaimanapun, kata Radzi, murid-murid yang menaiki bas sekolah diingatkan sentiasa memakai pelitup muka.
“Apa yang paling penting, kita pastikan keadaan sekolah selamat daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Ketetapan baharu
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan akhbar hari ini pula berkata, ketetapan baharu itu bermula pada sesi persekolahan penggal III Sesi Akademik 2022/2023 yang akan bermula esok bagi negeri Kumpulan A manakala Isnin ini bagi negeri Kumpulan B.
Kenyataan itu menyebut, bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema, pemakaian pelitup muka semasa di dalam bangunan kawasan institusi pendidikan diwajibkan.
“Bagi individu yang dikesan positif Covid-19 semasa berada di institusi pendidikan atau asrama, mereka diwajibkan memakai pelitup muka semasa dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau fasiliti kesihatan,” kata kenyataan.
Murid juga diwajibkan memakai pelitup muka semasa menaiki bas atau van sekolah atau perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing.
“Ketetapan tersebut turut terpakai untuk semua institusi pendidikan bawah KPM, digalakkan di institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” jelas kenyataan itu.
KPM berkata, ketetapan baharu itu dibuat susulan kenyataan media Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkaitan semakan semula keperluan pemakaian pelitup muka pada 7 September lalu.- UTUSAN