JOHOR BAHRU: Festival Majes Johor (FMJ) 2022 yang masuk hari ketiga terus diserbu orang ramai kerana menyajikan pelbagai aktiviti menarik.
Sebanyak 25 agensi kerajaan dan swasta menyertai pameran, 150 gerai jualan serta 80 gerai yang menjual pelbagai barang keperluan termasuk dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Terdapat dua tapak festival, iaitu di tempat letak kereta berhadapan Terminal Feri Puteri Harbour dan di hadapan Hotel Jen yang boleh dikunjungi orang ramai.
Tinjauan Mingguan Malaysia di tapak festival berhadapan Terminal Feri mendapati pelbagai gerai jualan dan pameran termasuk gerai buah-buahan yang didatangkan khas dari Desaru Fruit Farm, gerai Boss Selatan yang menyajikan pelbagai ikan laga, gerai-gerai cenderamata dan Pesta Kopi.
Turut diadakan pertandingan mewarna, Dinosaur Park & Led Lighting manakala pada waktu malam diadakan tayangan filem Under The Star bermula pukul 8 hingga 12 malam.
Di tapak berhadapan Hotel Jen terdapat Pameran Kembara Mahkota Johor yang mempamerkan pelbagai jenis kende raan yang digunakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sejak Kembara Mahkota Johor yang pertama hingga yang terakhir pada 2019.
Terdapat juga gerai-gerai dari setiap daerah di Johor yang menjual dan mempamerkan pelbagai makanan ringan dan cenderamata.
Antara yang menarik perhatian pengunjung ialah cawan gergasi dari gerai daerah Kluang yang menjadi daya tarikan dan mercu kopi Kluang.- UTUSAN










