MELAKA: Naluri seorang ibu ternyata tepat apabila tindakannya meletakkan kunci rumah di tepi pintu masuk berjaya menyelamatkan nyawanya dan anak lelaki daripada rentung dalam kebakaran di Lorong Haji Manaf, Tangga Batu di sini, awal pagi Selasa lalu.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Robiah Saidin, 61, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul empat pagi, dia sedang tidur sebelum menyedari rumahnya terbakar berikutan mendengar bunyi letupan dan terbau asap.
Katanya, sejurus sedar daripada lena, dia segera mengejutkan anak bongsu, Muhammad Shahrul Noordin, 19, yang tidur di ruang tamu.
“Saya betul-betul tidak sangka, gerak hati saya hendak letakkan kunci rumah di situ menjadi asbab saya dan anak terselamat, selalunya kunci rumah memang saya campakkan sahaja di mana-mana.
“Pada masa itu, asap sudah tebal sehingga menyebabkan kami sukar bernafas kerana kunci rumah saya letakkan di pintu, maka kami dapat keluar. Walaupun sebahagian rumah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fazzil Mohd. Yusof ketika dihubungi berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.16 pagi dan sepasukan 28 anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Setiba di lokasi, kita dapati rumah 30 kali 80 kaki persegi itu telah terbakar 80 peratus dan kebakaran berjaya dikawal pukul 5.04 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Tambah Robiah, mereka kini tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di rumah jiran sebelum mendapat bantuan rumah sewaan sementara daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Semua pintu masuk dan tingkap rumah ini berpagar besi, jadi, kalau tidak jumpa kunci memang kami dua beranak rentung dalam kebakaran, Allah permudahkan urusan kami,” ujarnya. –UTUSAN