Najib stabil, dihantar balik ke Penjara Kajang - Khairy -

Najib stabil, dihantar balik ke Penjara Kajang – Khairy

KHAIRY Jamaluddin beramah mesra bersama pesakit yang menjalani rawatan ketika beliau hadir pada Majlis Perasmian Hospital Rembau di Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan keluar dari Hospital Rehabilitasi Cheras dan dihantar semula ke Penjara Kajang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Najib sudah dibenarkan keluar pada pukul 3.20 petang tadi dan berada dalam keadaan stabil.

“Datuk Seri Najib dirujuk kepada hospital sebab beliau mengadu tentang tahap kesihatannya. 

“Beliau sudah pun diberi rehabilitasi dan sekarang ini, pandangan pakar adalah beliau sudah bersedia dalam keadaan yang stabil untuk discharge (daftar keluar).

“Dalam Kementerian Kesihatan ni, kami mendengar pandangan pakar, saya tidak boleh campur tangan, kalau pakar sudah kata Datuk Seri Najib sudah bersedia untuk discharge, maka discharge lah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hospital Rembau, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan Najib berada di Hospital Rehabilitasi Cheras untuk menjalani rawatan lanjutan pada 19 September lalu.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaannya yang tidak memuaskan.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN