Mahkamah arah SPRM serah laporan perbualan saksi kes Guan

Mahkamah arah SPRM serah laporan perbualan saksi kes Guan Eng

LIM Guan Eng tiba di mahkamah bagi menghadiri prosiding kes rasuah terowong dasar laut di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini. -UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan laporan forensik perbualan dalam WhatsApp dua saksi pendakwaan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Perbualan tersebut membabitkan ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam bela, Gobind Singh Deo mewakili Guan Eng yang memohon Pegawai Penyiasat Bahagian Forensik Teknologi SPRM, Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof, 34, yang juga saksi pendakwaan kelapan menyediakan laporan perbualan itu.

Gnanaraja didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 3 April 2019 atas tiga pertuduhan menipu seorang lagi saksi pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli sebanyak RM19 juta.

Beliau didakwa memperdaya Zarul Ahmad untuk mempercayai bahawa Gnanaraja boleh membantunya menutup siasatan SPRM terhadapnya, namun, status bagi kes berkenaan tidak diketahui.

Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas, Wan Mohd. Firdaus memaklumkan laporan perbualan Whatsapp di antara Gnanaraja dengan Zarul Ahmad yang merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) bagi kes Guan Eng itu tidak begitu lengkap.

Sebaliknya, laporan perbualan membabitkan individu-individu sama dalam kes Gnanaraja di Shah Alam adalah lebih lengkap. 

Ini kerana, jelas Wan Mohd. Firdaus, proses mengekstrak kandungan WhatsApps bagi telefon bimbit milik Zarul Ahmad pada 17 Ogos 2020 menggunakan perisian dikenali XRY telah gagal.

Gobind: Tapi perkara itu tidak dinyatakan dalam laporan tuan, ini kali pertama saya dengar bahawa tuan tak boleh ekstrak maklumat itu.

Wan Mohd. Firdaus: Ada dinyatakan dalam laporan di ruangan peralatan perisian yang kami gunakan.

Gobind: Sila rujuk laporan tuan, dalam kes ini apabila tuan buka telefon untuk pemeriksaan, bukankah telefon ini telah diekstrak lebih awal, bagi kes perbicaraan lain?

Wan Mohd. Firdaus: Ya bagi kes lain.

Gobind: Itulah masalahnya, siapa pemeriksa bagi laporan tersebut?

Wan Mohd. Firdaus: Pemeriksa lain, saya tiada maklumat.

Gobind: Tuan boleh carikan, mesti tuan boleh dapatkan maklumat itu, sebab tuan satu pejabat dengan pegawai berkenaan.

Wan Mohd. Firdaus: Boleh, jika ada kebenaran ketua jabatan saya. 

Dalam keterangannya sebelum ini, Wan Mohd. Firdaus berkenaan menyatakan, beliau telah mengekstrak telefon Zarul Ahmad menggunakan aplikasi XRY, namun, aplikasi itu hanya berjaya mengekstrak maklumat khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS).

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek tersebut. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Perbicaraan bersambung 19 Oktober ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.