Lebih 40 persatuan perniagaan runcit Malaysia tolak GEG -

Lebih 40 persatuan perniagaan runcit Malaysia tolak GEG

WONG Teu Hoon (tiga dari kiri) mewakili persatuan menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang akan diserah kepada pihak kerajaan pada Majlis Sidang Akhbar Mengenai Akta Produk Tembakau dan Rokok, di sini, hari ini. -UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perniagaan runcit menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) melibatkan mereka dalam perbincangan dan penglibatan secara menyeluruh mengenai cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok (GEG).

Ini kerana terdapat pelbagai kesan daripada RUU GEG khususnya daripada sudut ekonomi dan sektor runcit, oleh itu kerajaan wajar mengambil kira pandangan semua pihak yang akan terjejas disebabkan pelaksanaan tersebut.

Presiden The Malaysian Singapore Coffee Shop Proprietors’ General Association (MSCSPGA), Wong Teu Hoon, berkata, sehingga kini tiada wakil daripada kerajaan mahupun PSSC mengadakan perbincangan bersama pihak mereka.

Menurut beliau, peniaga runcit tidak sesekali membantah agenda Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mewujudkan generasi hadapan yang bebas daripada aktiviti merokok tetapi kesan daripada pelbagai aspek perlu diambil kira, bukan hanya dari segi kesihatan.

“Sehingga kini, kami tidak dirujuk mengenai RUU GEG dan tidak menerima sebarang taklimat mengenai pelaksanaan langkah-langkah yang dicadangkan seperti dilaporkan oleh pelbagai media berkenaan perkara ini.

“Kami menyokong agenda KKM dalam mengurangkan jumlah perokok di Malaysia. Apa yang kami minta adalah untuk dirujuk dan untuk pandangan kami didengari. Kami berharap supaya dapat dijemput untuk berkongsi pendapat kami,” katanya semasa sidang media, di sini.

Jelasnya, satu perundingan, taklimat dan kajian impak yang komprehensif perlu diadakan bersama pihak peruncit bagi menambah baik bil GEG dan tidak mendatangkan kesan besar terhadap industri tersebut.

“Peruncit mengadakan sidang media hari ini bagi menyatakan kebimbangan kami tentang RUU GEG, memandangkan KKM tidak akan dapat menyediakan penguatkuasa di setiap kedai runcit, peruncitlah yang akan menjadi barisan hadapan dalam menjayakan RUU GEG ini,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, RUU GEG dibentangkan di Parlimen pada 27 Julai lalu oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan membabitkan golongan individu yang lahir selepas 1 Jan 2007 dan dijangkakan berkuat kuasa 2025 jika diluluskan.

Tetapi timbul pelbagai kebimbangan mengenai RUU tersebut walaupun ia memberi kesan baik kepada generasi baharu, ia juga memberi kesan kepada pelbagai sudut penting yang menjadi tonggak kepada pembangunan negara iaitu antaranya ekonomi.

Sependapat dengan itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), N. Shanmugam berkata, disebabkan pengendali runcit akan menjadi antara pelaksana yang memainkan peranan penting dalam menjayakan RUU tersebut, ia akan menimbulkan ketegangan tertentu di kedai runcit.

“Pengendali runcit akan menjadi individu yang dijangka untuk menjalankan semakan kad pengenalan diri (IC) yang akan menyebabkan ketegangan tertentu dalam kedai. Memandangkan RUU tersebut tidak membenarkan mereka lahir selepas 2007 bekerja di kedai yang menjual rokok.

“Ini akan menyebabkan kos operasi untuk perniagaan kecil ini akan meningkat dan menyebabkan ramai yang terpaksa menggulung tikar,” jelasnya.

Shanmugam turut mendedahkan, jualan produk tembakau yang sah di kedai runcit membentuk 30 peratus daripada jumlah keuntungan semasa, RUU GEG akan memberi kesan signifikan kepada keuntungan kedai runcit negara khususnya semasa sedang bersiap sedia menghadapi kemelesetan ekonomi global.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang juga turut hadir dalam sidang media itu turut menggesa PSSC mengadakan perbincangan bersama pemain-pemain industri yang terkesan.

“PSSC ni lebih kepada melihat undang-undang, bukan kepada aspek pelaksanaan tetapi dalam membincangkan undang-undang kita mesti ada perbincangan dengan badan yang menguatkuasakan, perbincangan tu serentak.

“Soalan-soalan yang mereka (peniaga runcit) bangkitkan sebenarnya sangat praktikal, kalau tak boleh jual rokok tapi mereka yang nak bekerja dekat situ pun tidak boleh atas faktor umur. Jadi nak buat macam mana? Adakah akan ada pelonggaran atau tindakan lain?” soalnya.

Tambahnya, sekiranya isu yang dibangkitkan oleh peniaga-peniaga runcit ni dapat dibawa kepada PSSC, akan ada banyak perkara dapat dipertimbangkan untuk pindaan kepada RUU GEG.

“Apa yang peniaga runcit mahukan adalah sedikit penjelasan mengenai sudut penguatkuasaan. Sebab itu saya rasa memang sesuai sekiranya mereka bertemu dengan PSSC.

“Saya juga meminta peniaga runcit berhubung dengan menteri-menteri lain, bukan hanya Menteri Kesihatan. Kita perlu timbangkan satu mekanisme ‘soft landing’ untuk pengusaha-pengusaha yang terjejas, mungkin satu dana boleh disediakan untuk mereka bagi satu tempoh.

“Apa peniaga runcit bangkitkan sekarang ni adalah realiti ekonomi, kita baru nak keluar daripada pandemik dan ramai juga terkesan. Mungkin jumlah pelanggan mereka tidak sama seperti dahulu.

“Jadi apakah bantuan boleh diberikan sekarang sekiranya RUU tersebut dilaksanakan? Sekiranya persoalan ini tidak dijawab dengan jelas serta tuntas, ia akan menimbulkan persepsi yang kurang sihat,” katanya.

Fahmi berkata, beliau sendiri menyokong pelaksanaan RUU GEG tetapi kebimbangan dibangkitkan oleh pemain-pemain industri ni perlu dilihat dan difahamkan sebelum ia dilaksanakan.

“Saya sendiri nak tengok GEG ini dilaksanakan tetapi bila lihat kebimbangan dan perkara praktikal ni, saya rasa ia boleh dijelaskan dahulu dan PSSC perlu dengar. Sekiranya perlu lakukan pindaan, lakukan. Dari situ kita akan dapat lebih ramai yang menyokong,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya