SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bercadang memberikan lot-lot tanah di Felda kepada generasi kedua dan ketiga tanah rancangan itu bagi tujuan pembinaan rumah buat mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemberian tanah milik kerajaan negeri itu kemudiannya membolehkan generasi kedua dan ketiga berkenaan membina rumah mereka dengan kos yang ditanggung dan mengikut kemampuan sendiri.
Jelas beliau, langkah kerajaan negeri itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda untuk kekal berada di tanah-tanah rancangan berkenaan dan terus mengusahakan ladang-ladang sedia ada.
“Kerja pengukuran lot-lot tanah berkenaan akan bermula dalam masa terdekat. Mereka akan buat rumah itu sendiri mengikut kemampuan mereka.
“Saya rasa dengan adanya pemberian lot-kot tanah kepada generasi kedua dan ketiga ini akan lebih menggalakkan ramai anak muda tinggal di Felda. Mereka juga boleh usahakan ladang-ladang sedia ada yang kita sedia maklum mengalami kekurangan tenaga buruh.
“Mereka boleh tinggal di situ dengan lebih selesa, bangunkan kawasan Felda termasuk dengan perniagaan-perniagaan. Kami lihat inilah sumbangan yang kerajaan negeri dapat berikan kepada golongan muda yang ada di kawasan Felda,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin menambah, projek rintis untuk pemberian lot tanah tersebut telah dikenal pasti iaitu di Felda Palong 12 di Gemas yang melibatkan tanah seluas 5.8 hektar.
“Setiap lot berkeluasan 4,000 kaki persegi dan di Felda Palong 12 itu, ia boleh melibatkan seramai 100 orang pemohon. Ia kemudian akan diteruskan ke kawasan Felda yang lain, namun, bergantung kepada kesesuaian tanah dan keperluan di setiap kawasan itu.
“Syarat permohonan setakat ini belum ditetapkan dan akan diperincikan lagi selepas ini namun keutamaan tentulah diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan Felda,” katanya lagi. –UTUSAN