PASIR MAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menghantar kaunselor dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi kaunseling kepada keluarga Azie iaitu mangsa culik di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat pada Selasa lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, usaha tersebut bertujuan meredakan trauma yang terpaksa ditanggung oleh keluarga berkenaan susulan kejadian culik tersebut.
“Seperti yang kita maklum, keluarga berkenaan masih berada dalam keadaan trauma, terutama ibu dan anak mangsa.
“Oleh yang demikian, kita akan membantu mereka dengan memberikan kaunseling supaya tekanan yang dihadapi oleh mereka dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Pelaksanaan Latih Amal/Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS)JKM Negeri Kelantan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini hari ini.
Ahli Parlimen Rantau Panjang itu memberitahu, masyarakat diharap supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Katanya, beliau khuatir spekulasi itu boleh mengganggu dan menjejaskan siasatan polis.
Dalam perkembangan lain berkaitan kes kanak-kanak lelaki yang didera ibunya di Kota Bharu enam bulan lalu, Siti Zailah berkata, kanak- kanak berkenaan kini dalam proses perintah mahkamah untuk ditempatkan di Rumah Kanak-kanak JKM.
“Kanak-kanak berusia lapan tahun itu kini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Kita sedang menunggu proses perintah mahkamah itu,”katanya. –UTUSAN