NIBONG TEBAL: Memasang beberapa batang paip untuk digunakan bagi menyalurkan sisa air larut resap atau ‘leachate’ ke dalam kawasan rizab paya bakau.
Itu antara taktik yang digunakan pihak tertentu bagi memastikan aktiviti pelepasan air larut resapan (leachate) dari kolam takungan di kawasan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPSP) Pulau Burung Fasa 1 di sini gagal dikesan oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila penduduk setempat berjaya menyedari terdapat aliran air berwarna hitam yang memasuki kawasan paya bakau bersebelahan sebelum memasuki laut.
Aduan kemudian dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang kelmarin sebelum siasatan lanjut dijalankan pada hari sama.
Difahamkan, pelepasan itu berlaku beberapa jam sebelum aduan tersebut diterima.
Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, dalam siasatan itu, pihaknya membuat pemeriksaan fizikal dan menggunakan dron di kawasan tapak selain membuat persampelan di beberapa lokasi dan merakam percakapan beberapa saksi.
Kata beliau, sampel-sampel yang berkenaan kemudian dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Menurutnya, siasatan hari pertama ditamatkan kira-kira pukul 9.30 malam atas faktor keselamatan dan disambung semula semalam.
“Satu laporan polis juga dibuat di Balai Polis Nibong Tebal bagi membolehkan siasatan dijalankan sama ada terdapat unsur khianat oleh pihak tertentu dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, berdasarkan maklumat awal serta keterangan saksi-saksi, pelepasan air larut resapan itu kemungkinan dibuat secara sengaja dan dirancang lebih awal kerana batang-batang paip itu telah dibawa masuk, dipasang dan ditanam selepas perbuatan tersebut terbongkar.
“Dalam hal ini, JAS Pulau Pinang akan mengeluarkan satu Notis Arahan kepada pemilik tapak iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk meningkatkan pemantauan keselamatan serta kawalan pencemaran di tapak.
“Mana-mana premis yang tertakluk di bawah Perintah EIA dan didapati gagal mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dikenakan Arahan Berhenti Kerja (Stop Work Order),” katanya.
Tambah beliau, beberapa insiden kebakaran besar juga pernah berlaku di tapak tersebut sebelum ini hingga menjejaskan kesejahteraan orang awam. –UTUSAN