Harga getah jatuh, penoreh kini dikelilingi hutang - Utusan Malaysia

Harga getah jatuh, penoreh kini dikelilingi hutang

PENOREH getah di Kampung Pinang dan Kampung Tong Pelu mengeluh terhadap harga getah yang jatuh sehingga memberi kesan kepada kehidupan harian mereka di Padang Terap, di sini. -UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Penurunan harga getah sejak akhir-akhir ini menyebabkan ramai penoreh terutamanya di Kampung Pinang dan Kampung Tong Pelu, di sini hidup dalam keadaan gelisah kerana terpaksa menanggung kos perbelanjaan harian yang semakin tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Sahbari Abd. Rahman, 54, dari Kampung Pinang berkata, situasi itu memberi kesan kepada golongan tersebut sehingga ada dalam kalangan penoreh terpaksa berhutang bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, sebelum ini mereka masih boleh bertahan walaupun harga getah tidak stabil, namun, sejak kenaikan harga barangan terutamanya keperluan dapur ia sangat membebankan.

“Kini, ramai penoreh getah terpaksa berhutang di kedai runcit atau kepada saudara-mara mereka kerana harga barangan semakin naik setiap hari. Harga getah sekerap sekarang hanya RM2.40 sekilogram (kg) sedangkan barangan dapur naik melonjak.

“Keadaan bertambah teruk kepada mereka yang menoreh secara pawah apabila perlu membahagi dua setiap hasil yang diperoleh. Ini sudah pasti akan memberi kesan yang sangat teruk kepada penoreh hingga ada dalam kalangan mereka terpaksa bergadai barang kemas,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mohd. Sahbari, lonjakan harga barang pada hari ini mungkin disebabkan kenaikan gaji bagi kakitangan awam atau swasta dan ini merupakan rahmat kepada mereka.

Bagaimanapun, ia memberi kesan kepada kumpulan penoreh yang tidak dapat menyaingi pendapatan golongan berkenaan hingga penoreh merasa tertekan.

“Saya bimbang jika pendapatan penoreh dan kenaikan barangan tidak seimbang tidak mustahil tragedi Baling 1972 boleh berlaku kerana kesempitan hidup penoreh pada hari ini. Oleh itu, sudah sampai masanya pihak berkenaan kaji semula harga getah supaya seimbang dengan kenaikan harga barangan hari ini,” katanya.

Bagi Baharudin Awang Kasa, 60, dari Kampung Tong Pelu pula berkata, penoreh getah bukan sahaja berdepan harga barangan keperluan harian yang tinggi, tetapi, turut sama menanggung kenaikan harga baja dan racun.

Katanya, kejatuhan harga getah pada hari ini sukar untuk mereka membeli baja atau racun bagi menambahkan pengeluaran susu getah.

“Kami terpaksa mementingkan perut anak-anak dan isteri terlebih dahulu sebelum membeli racun atau baja getah. Jika kami tumpu kepada baja atau racun bagi menambah pengeluaran, sudah pasti kami sekeluarga tidak makan.

“Keadaan hari ini bertambah perit dengan hujan yang sering melanda sehingga kami terpaksa ‘gantung pisau’. Baru-baru ini saya ada menjual getah sekerap yang dikumpul selama sebulan, tetapi hanya mendapat RM200 sahaja dan kemudiannya dibahagi kepada pemilik kebun juga.

“Oleh itu saya merayu pada pihak yang bertanggungjawab supaya dapat meningkatkan harga getah supaya penoreh tidak menanggung penderitaan lagi akibat kenaikan harga barangan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya