KOTA BHARU: Seorang pekerja kedai serbaneka berdepan detik cemas selepas premis berkenaan disamun oleh dua lelaki yang masing-masing bersenjatakan parang dan pisau pemotong daging dalam kejadian di Pengkalan Chepa, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, semasa kejadian, mangsa yang ketika itu berseorangan di kaunter premis berkenaan secara tiba-tiba didatangi oleh dua lelaki yang tidak dikenali.
Menurutnya, kedua-dua lelaki bersenjatakan parang dan pisau bertindak mengambil wang tunai dan pelbagai jenis rokok yang terdapat dalam premis berkenaan.
“Semasa kejadian, kedua-dua suspek tersebut memakai pelitup muka bagi mengelakkan daripada dicam oleh mangsa.
“Suspek menaiki kereta jenis Perodua Axia berwarna merah semasa melakukan kegiatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, polis giat mendapatkan maklumat dan mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. –UTUSAN