Geng Ameer terlibat curi motosikal tumpas - Utusan Malaysia

Geng Ameer terlibat curi motosikal tumpas

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi motosikal di sekitar Lembah Klang apabila menahan enam individu di beberapa lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 20 September lalu.

Penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun itu dilakukan menerusi Op Roda yang dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan, Jenayah Ibu Pejabat Polis Sentul. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil daripada tangkapan yang dilakukan, sebanyak enam buah motosikal pelbagai jenama ditemukan selepas dilaporkan hilang di beberapa lokasi.

Kata beliau, turut ditemukan rangka motosikal.

“Antara jenama motosikal yang ditemukan iaitu Yamaha, Honda serta Suzuki dengan nilai anggaran RM60,000.

“Selain itu beberapa komponen motosikal, tiga unit mesin grinder dan masing-masing dua unit mesin drill serta mesin hacker disyaki digunakan untuk mencuri motosikal turut dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan mendapati sindiket ini didalangi seorang lelaki dengan nama panggilan Ameer bersama tiga rakannya.

Jelas Eng Lai, sindiket ini akan mensasarkan motosikal jenama Yamaha dan Honda.

“Setelah motosikal berkenaan dikenal pasti, salah seorang daripada suspek yang merupakan seorang mekanik motosikal akan bertindak menendang pemegang motosikal serta mematahkan kunci pendua yang dipasang pada tayar motosikal tersebut. 

“Suspek kemudiannya akan menunda motosikal tersebut ke sebuah stor di rumah mereka dengan bantuan seorang lagi rakan sejenayah,” jelasnya.

Tambah beliau, setelah diubah suai, kesemua motosikal yang telah dicuri itu akan dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal tersebut. 

Ujarnya, selain itu juga, suspek turut menjual komponen motosikal yang telah dicuri kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM50 hingga RM4,000 bergantung kepada permintaan.

“Kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan  direman bermula 21 September sehingga 28 hari ini bagi membantu siasatan. 

“Kesemua tangkapan tersebut kemudiannya akan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Eng Lai, susulan daripada operasi yang dijalankan ini, polis berjaya menyelesaikan sepuluh kes kecurian iaitu enam kes di kawasan Sentul dan Gombak (empat kes).

“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket kecurian motosikal diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya