PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan fokus utamanya ketika ini adalah soal kesihatan awam dan bukannya politik.
Menurutnya, masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam di negara ini.
“Bagi saya, sehinggalah waktu kita (kerajaan) bubar Parlimen, saya memilih kurang untuk bercakap pasal politik.
“Saya akui kurang cakap pasal politik kerana dalam keadaan pandemik, Menteri Kesihatan mestilah fokus kepada soal kesihatan dan jika dia keluarkan banyak kenyataan politik, kredibiliti Kementerian Kesihatan (KKM) itu sendiri akan terjejas.
“Saya bimbang rakyat akan nampak Menteri Kesihatan yang sepatutnya cakap soal kesihatan asyik cakap politik sahaja,” katanya pada sesi temubual khas sempena pencapaian setahun Khairy mengetuai Kementerian Kesihatan (KKM), di sini semalam.
Katanya, beliau perlu selesaikan tugas sebagai Menteri Kesihatan yang mungkin tinggal hanya beberapa bulan atau beberapa minggu lagi.
Khairy berkata, beliau mahu memastikan segala tugas dapat diselesaikan sebelum Parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
“Dalam tempoh bubar Parlimen, setiap kementerian akan ‘auto-pilot’ dengan kawalan oleh pegawai kanan kerajaan jadi kita perlu bersiap sedia,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau secara peribadi berbangga dengan petugas kesihatan kerana bekerja bertungkus lumus di lapangan sepanjang pandemik ini.
Menurutnya, pengalaman ketika pandemik Covid-19 sangat berharga dan ia perlu diinstitusikan sebagai persediaan berdepan apa jua bentuk ancaman pandemik lain pada masa depan.
“Sekarang ini, kita sudah ada ‘playbook’ menangani pandemik Covid-19 dan ia akan menjadi asas kepada kita pada masa akan datang,” katanya. –UTUSAN