Enam kenderaan rosak dirempuh lori - Utusan Malaysia

Enam kenderaan rosak dirempuh lori

ANTARA kereta Perodua MyVi yang mengalami kerosakan selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan hari ini.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebanyak enam buah kenderaan pelbagai jenis mengalami kerosakan teruk dirempuh oleh sebuah lori dalam satu kemalangan di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Kejadian pukul 3 petang itu melibatkan sebuah lori jenis Hino, dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan Nissan Grand Livina, kereta Proton Saga serta tiga buah Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati lori yang dalam perjalanan ke ladang sawit di Felda Aring 8 gagal berhenti dan kemudian hilang kawalan lalu melanggar kenderaan yang sedang menghala dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.

“Setiba di lokasi kejadian, pemandu lori berusia 31 tahun telah membrek tetapi kenderaan itu telah menggelongsor sejauh 117 meter dan terus melanggar bahagian belakang Perodua Alza.

“Lori berkenaan kemudian terus terbabas lalu melanggar bahagian hadapan Nissan Grand Livina serta belakang kenderaan Perodua Myvi. Perodua Myvi itu kemudiannya melanggar dua lagi kereta lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, kesan pelanggaran itu menyebabkan dua mangsa cedera ringan di bahagian kepala serta tangan dan semasa kejadian lori itu tidak membawa sebarang muatan.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Gua Musang manakala pemandu lori telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk pemeriksaan awal ujian saringan air kencing dan mendapati dia negatif dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang mangsa kemalangan, Muhammad Saifullah Mohd. Shahuli, 29, berkata, dia bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke kampung di Kok Lanas.

Katanya, dia bersyukur anak dan isterinya terselamat dalam kemalangan terbabit. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya