KOTA TINGGI: Dua nelayan yang disangka lemas selepas tidak pulang daripada menjala di Sungai Telor semalam rupanya tersesat sampai tidak jumpa jalan pulang.
Mangsa, Wan Nain Wan Abd. Kadir, 43, dan Nik Norzi Abd. Rahman, 48, ketika ditemui dalam keadaan lemah.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kulai, PBT II Bahtiar Selamat berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.24 malam dan menghantar tujuh anggota ke lokasi untuk mencari dan menyelamat dua rakan berkenaan yang keluar menjala pada pukul 7 petang.
“Laporan kehilangan mangsa dibuat isteri Wan Nain yang memaklumkan suaminya dan seorang rakan tidak pulang selepas keluar menjala kira-kira pukul 7 petang.
“Ekoran itu pihak bomba ke lokasi akhir yang dilaporkan mangsa kelihatan dan membuat pencarian di kawasan tersebut menggunakan teknik ‘surface searching’ di kawasan terakhir mangsa dilihat.
“Namun, kita didapati tanda-tanda mangsa dikhuatiri lemas tiada. Pihak bomba melakukan operasi pencarian di tebing hingga pukul 2 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, mangsa dan rakannya berjaya ditemui pada pukul 7.58 pagi hari ini dalam keadaan selamat tidak jauh dari lokasi hilang.
Kedua-dua mangsa memaklumkan mereka sesat untuk mencari jalan pulang.
“Ketika dijumpai mangsa dalam lemah. Anggota EMRS membuat rawatan pada kaki mangsa yang luka. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN