PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin yang syok sendiri.
Malahan, beliau dalam nada amat kesal melahirkan perasaan kecewa apabila Pengerusi PN itu menghina Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama bagi gabungan siasah berkenaan.
“Dia syok sendiri, tetapi bagi saya tanda kehebatan seseorang pemimpin Islam itu ialah dia tidak akan bermusuh dengan sesama parti Islam yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merasmikan Karnival Putrajaya 2022 dan Kempen Bersih Setiap Tempat (Best) Putrajaya di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Muhyiddin dilaporkan ketika berucap pada acara sambutan ulang tahun keenam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini pagi ini mengingatkan bahawa BN ialah musuh utama PN.
Bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu itu dalam nada angkuh meminta semua parti komponen PN untuk bersepakat menetapkan pendirian mengenai perkara asas tersebut.
Program ini disertai ramai pemimpin Bersatu dan Parti Gerakan namun tiada tokoh Pas hadir yang sekali gus mencetuskan spekulasi keretakan hubungan sesama gabungan itu sendiri.
Pas sebelum ini pernah menjelaskan bahawa musuh utama mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ialah Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang dianggap seteru Islam.
Bahkan, ramai pemimpin Pas sendiri mengingatkan ahli-ahli mereka agar tidak pernah lupa pengalaman perit selama 22 bulan ditadbir PH selepas kejatuhan BN pada PRU-14 dahulu.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, sepatutnya Muhyiddin lebih berjiwa besar dengan tidak membuat pengumuman itu secara terbuka seolah-olah BN langsung tidak pernah pun berjasa.
“Kita (BN) sendiri tiada masalah untuk umum siapa musuh tetapi tidak dibuat kerana anggap semua parti Bumiputera Melayu Islam sebagai sahabat dan itulah lebih baik,” tegas beliau.
Ahli Parlimen Arau itu dalam nada sindiran berkata, sepatutnya Bersatu bermusuh dengan DAP dan PKR yang terbukti rekod buruk mereka sepanjang PH pernah mentadbir negara ini.
Bagaimanapun, ucapan terbaharu Muhyiddin kali ini menunjukkan Bersatu dalam keadaan terdesak untuk menang PRU-15 dengan membuat kempen imej persepsi negatif ke atas BN.
Situasi tersebut ujar beliau, seolah-olah menunjukkan PN sebenarnya ialah sekutu PH dan menggambarkan Bersatu masih beranggapan mereka kononnya adalah parti yang lebih baik. –UTUSAN