PUTRAJAYA: Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @De Dagang dilancarkan bermula bulan ini sehingga hujung tahun bagi mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dengan mempelbagaikan platform pembelian untuk mendapatkan barangan pada harga lebih murah.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan memberikan insentif seperti potongan harga, baucar diskaun, rebat dan baucar penghantaran kepada rakyat bagi mendorong lebih banyak pembelian secara dalam talian dari perniagaan dan produk tempatan.
Menurut beliau, kempen ini selari dengan aspirasi pasukan berkenaan iaitu menurunkan kadar inflasi dan harga makanan, terutamanya menerusi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia dengan sokongan Kementerian Kewangan (MOF).
Katanya, kempen ini dijangka memberi manfaat kepada 100,000 perniagaan tempatan yang mana 30,000 daripadanya adalah perniagaan baharu dengan Jumlah Jualan Kasar (GMV) yang disasarkan bakal melebihi RM1.5 bilion dengan menjana sebanyak lima juta transaksi.
“Melalui kerjasama bersama rakan platform digital, kempen ini membolehkan rakyat berbelanja pada harga berpatutan dan tidak menekan mereka terutama barangan harian seperti produk keperluan asas dan runcit, makanan dan perkakasan rumah yang boleh didapati dengan potongan diskaun sehingga 20 peratus.
“Pada masa sama ia membantu usahawan dalam sektor sasaran seperti produk-produk halal, hasil pertanian dan produk buatan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, insentif-insentif yang ditawarkan melalui kempen ini boleh ditebus dari 17 rakan platform digital tempatan seperti Bizapp, InstanteStore, Jocom, Kravve, Kumoten, Lokein.com, Maybank, Rtist, SiteGiant dan Wonderfly.
Ia turut disertai platform luar negara disertai Fave, FoodPanda, Grab, Lazada, OYO Hospitality, Shopee dan TikTok.
“De Dagang akan membantu usahawan yang mempunyai produk barangan buatan dan jenama Malaysia yang berpotensi untuk diekspot serta produk pelancongan dan kraf untuk mengguna pakai dan memanfaatkan platform digital.
“Kempen ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2022 menyalurkan manfaat dan sokongan kewangan bernilai RM300 juta kepada perniagaan tempatan melalui pelbagai platform e-Dagang dan e-Bayar yang bertujuan menambah baik keupayaan penjualan, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya. – UTUSAN