Cekal jaga isteri sakit buah pinggang, tulang belakang -

Cekal jaga isteri sakit buah pinggang, tulang belakang

RAMLI Yahya (kiri) cekal menjaga Normah Hussin yang menghidap penyakit buah pinggang dan sakit tulang belakang di kediaman mereka di Bachang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nasib seorang wanita yang menderita sakit buah pinggang sejak lima tahun lalu ‘ibarat jatuh ditimpa tangga’ selepas dia disahkan pula menghidap sakit tulang belakang.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Ramli Yahya, 57, berkata, isterinya, Normah Hussin, 53, dikesan mengalami kegagalan buah pinggang sejak 2017 apabila tubuhnya mulai lemah dan tidak bermaya.

Menurutnya, doktor menyarankan rawatan dialisis dilakukan segera kerana buah pinggang kanan tidak lagi berfungsi.

“Sebelah kiri masih elok tapi bukan dalam keadaan baik. Doktor perlu memasang tapak pada bahagian lengan atau badan untuk dialisis, namun prosedur ini dikatakan punca jangkitan kuman pada tulang belakang isteri.

“Doktor nasihat pembedahan dilakukan segera, namun isteri keberatan kerana berisiko tinggi akan lumpuh. Alhamdulillah, buat masa ini dia masih mampu duduk, berdiri dan berjalan walaupun seketika.

“Isteri tidak tunjuk dia sakit pada orang lain, sebab itu dia boleh bersembang dan bergelak ketawa. Apabila bersendirian dalam bilik, dia akan termenung, murung dan bersedih,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir Putih, Bachang di sini.

Tambah Ramli, dia hanya berniaga secara kecil-kecilan di hadapan rumah dengan pendapatan yang tidak menentu bagi mencari wang untuk rawatan dialisis.

Kata bekas pengayuh beca itu, isterinya perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu dengan anggaran kos lebih RM300 untuk sekali sesi.

“Kos tidak menentu kerana akan lebih mahal jika perlu membeli ubat. Mujur Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ada menyumbang RM150 bagi setiap sesi dialisis dan bakinya saya jelaskan sendiri.

“Pendapatan saya cukup makan saja kerana hasil perniagaan akan disimpan untuk kegunaan isteri. Sebagai suami dan masih mempunyai kudrat, saya akan terus mencari wang untuk memberi rawatan terbaik kepadanya,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN