Bersatu yakin cipta gelombang PRU15 - Utusan Malaysia

Bersatu yakin cipta gelombang PRU15

CHONG Fat Full (enam dari kiri) bergambar bersama ahli Sayap Bersekutu Bersatu selepas perasmian Sayap Bersekutu Bersatu peringkat negeri ini di Kuala Perlis hari ini.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk sayap bersekutunya yakin mencapai momentum terbaik untuk memenangi Pilihan Raya Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Sayap Bersekutu Bersatu, Dr. Chong Fat Full berkata, momentum tersebut mula dirasai apabila jelajah Sayap Bersekutu Bersatu termasuk di Perlis mendapat sambutan hebat.

Katanya, beliau berharap momentum daripada kaum bukan bumiputera menyokong Bersatu akan menjadi gelombang baharu.

“Saya harap dengan semangat yang ada dan pimpinan semasa Perlis nampaknya tidak mustahil kita boleh menang dan mentadbir di sini. 

“Kita juga nampak penyertaan ahli-ahli bersekutu walaupun mereka minoriti, namun, menunjukkan sambutan yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Sayap Bersekutu Bersatu peringkat negeri ini di Kuala Perlis di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh, Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah dan Setiausaha Akhbar kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Tan Lek Khang.

Kira-kira 350 ahli Sayap Bersekutu Bersatu terdiri daripada kaum Cina dan India turut hadir dan mendaftarkan diri sebagai ahli sayap itu.

Menurut Fat Full, kehadiran ramai penyokong menunjukkan sokongan mereka terhadap Bersatu.

“Ada antara mereka yang tidak suka Pakatan Harapan (PH), mereka yang tidak boleh terima Barisan Nasional (BN), jadi kita tawarkan platform yang boleh diguna pakai untuk mencapai idealisme.

“Apa yang boleh kita tawarkan, Pakatan Nasional (PN) sememangnya bersih dan ini adalah tarikan untuk menyertai sayap ini,” jelasnya.

Tambahnya, beliau yakin dengan usaha Abu Bakar selaku pimpinan Bersatu negeri mampu memenangi PRU15 di Perlis. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN