Belanjawan 2023: KPM usul kadar baharu RMT, peranti guru,

Belanjawan 2023: KPM usul kadar baharu RMT, peranti guru, infrastruktur pendidikan khas

Radzi Jidin (depan enam kiri) bergambar bersama kakitangan Kementerian Pendidikan pada Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Kompleks E di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengusulkan beberapa permohonan baharu kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2023 antaranya membabitkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT), peranti guru dan infrastruktur bagi sekolah pendidikan khas.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau memohon kepada kementerian itu untuk mempertimbangkan kadar baharu bagi RMT ekoran peningkatan kos yang berlaku.

“Kita mohon kadar itu dilihat semula dan ditambah baik kerana ramai pengusaha kantin di luar sana sampaikan tentang perkara ini kepada kita, jadi, itu merupakan salah satu perkara yang kita mohon untuk pertimbangan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2023.

“(Kadar baharu) RMT kita serahkan kepada Kementerian Kewangan, sekarang ini RM2.50 dan kali terakhir ‘revised’ adalah beberapa tahun yang dulu sebab itu kita mohon perkara ini diteliti semula,” katanya menerusi sidang media selepas Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Kompleks E di sini hari ini.

Jelas Radzi, KPM turut mengusulkan permohonan peranti untuk kegunaan guru-guru di sekolah memandangkan sistem pendidikan negara sedang bergerak ke arah digitalisasi.

“Sebelum ini kita lihat kakitangan awam yang lain umumnya ada disediakan ‘work station’ atau komputer riba kepada mereka kalau yang bekerja di pejabat, namun begitu, dalam konteks guru ini tiada peranti atau komputer disediakan.

“Sebab itu kita mohon kali ini dipertimbangkan peranti untuk guru ini memandangkan kita bergerak ke arah digitalisasi, bila bercakap tentang digitalisasi ini, kita ambil kira semua pihak termasuk komponen paling utama iaitu guru-guru,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut berharap kerajaan dapat memberi perhatian khususnya terhadap infrastruktur sekolah pendidikan khas yang dilihat ketinggalan jauh berbanding negara-negara lain.

Menurut Radzi, adalah amat penting bagi anak-anak dari sistem pendidikan khas diberi peluang dan ruang seluas-luasnya supaya mereka dapat berdikari pada masa akan datang.

“Kita sedar pendidikan khas ini ada jurang dengan negara yang lebih terkedepan dan kita masih jauh sebab itu kita mohon peruntukan untuk lonjakkan pendidikan khas ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Apa yang paling penting anak-anak yang keluar dari sistem ini dapat berdikari dan ibu bapa mereka merasa gembira dan kita mahu pastikan untuk berikan ruang seluasnya kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Radzi berkata, jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) tidak lagi boleh meminta data pemarkahan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dari guru-guru berikutan pelaksanaan sistem perekodan berpusat yang dijangka bermula hujung tahun ini.

Jelasnya, sistem berkenaan merupakan sebuah platform bagi guru-guru untuk memasukkan markah PBD murid tahun empat, lima, enam dan tingkatan satu, dua dan tiga selain tidak perlu memasukkan data sama berulang kali menerusi sistem berlainan.

“Antara cabaran utama yang diterima apabila guru-guru sampaikan pada kita untuk masukkan markah PBD (mereka) perlu masukkan mengikut template yang disediakan di peringkat sekolah. Kemudian PPD pula minta masukkan dalam sistem mereka, selang sekejap, JPN pula minta.

“Jadi cikgu ‘got frustated’ bila nak kena masukkan benda sama berulang-ulang kali,” ujarnya.

Tambah beliau, platform yang sedang dibangunkan itu akan membolehkan data murid dan pelajar dikongsikan di antara guru dan KPM, manakala PPD dan JPN yang ingin mendapatkan data tertentu memerlukan kebenaran.

Katanya lagi, pelaksanaan platform berkenaan dijangka dapat menambah kecekapan sistem pendidikan serta meningkatkan kecekapan guru. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya